Khamis, 30 March 2023 | 8:13pm
Kem Sokha, bekas Ketua Pembangkang dan parti yang sudah dibubarkan, Cambodia National Rescue Party (CNRP). - Foto hiasan AFP
Kem Sokha, bekas Ketua Pembangkang dan parti yang sudah dibubarkan, Cambodia National Rescue Party (CNRP). - Foto hiasan AFP

Ketua pembangkang Kemboja kemuka rayuan sabitan pengkhianatan

PNNOM PENH: Seorang pemimpin pembangkang Kemboja hari ini mengemuka rayuan terhadap sabitan pengkhianatan cuba menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Hun Sen yang dengan peguam yang mewakilinya, mengkritik keputusan itu sebagai 'tidak adil'.

Mahkamah pada bulan ini mendapati pengasas bersama parti pembangkang, Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP), Kem Sokha bersalah kerana bersubahat dengan kumpulan asing untuk menggulingkan kerajaan Hun Sen.

Sokha dijatuhi hukuman penjara 27 tahun dan serta-merta diletakkan di bawah tahanan rumah.

Dia juga dilucutkan hak politiknya dan dilarang berjumpa dengan warga asing atau sesiapa sahaja yang bukan ahli keluarga, tanpa kebenaran mahkamah.

"Dia merayu terhadap keputusan itu kerana merasakan tidak adil," kata seorang peguam Sokha, Meng Sopheary.

Sokha, 69, sebelum ini berulang kali menafikan tuduhan terhadapnya sejak penahanannya pada 2017.

Seorang lagi peguam, Ang Udom berkata, Sokha enggan menerima keputusan yang tidak adil yang menyebabkannya kehilangan banyak hak.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia berkata, tuduhan terhadap Sokha direka-reka untuk menghalangnya daripada bertanding menjelang pilihan raya Julai ini.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat menyimpulkan hukuman Sokha sebagai 'kesilapan dalam keadilan' iaitu seseorang dihukum mahkamah undang-undang terhadap jenayah yang tidak dilakukannya, berdasarkan 'konspirasi rekaan'.

Hun Sen, yang memerintah Kemboja selama lebih 38 tahun, mengehadkan kebebasan demokrasi dan menggunakan mahkamah untuk menyekat lawan politik, menurut kumpulan hak asasi manusia. - AFP

Berita Harian X