Ahad, 26 March 2023 | 2:58pm
Antara calon presiden Indonesia bagi pemilihan 2024, (dari kiri) bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan; Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dan gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo. - Foto REUTERS
Antara calon presiden Indonesia bagi pemilihan 2024, (dari kiri) bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan; Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dan gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo. - Foto REUTERS

Perlumbaan untuk Presiden Indonesia bertambah rancak

JAKARTA: Gerakan dalam kalangan parti politik Indonesia semakin rancak memburu calon presiden dan naib presiden untuk bertanding pada pilihan raya 2024.

Pertemuan antara ketua parti Gerindra, Prabowo Subianto, 71, dan gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, 54, pada 9 Mac lalu di Kebumen, Jawa Tengah, mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan kedua-dua tokoh itu bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Tambahan pula, kehadiran Presiden Joko Widodo (Jokowi) pada majlis sama ditafsirkan umum sebagai memberi restu kepada gandingan terbabit.

Kedua-dua Prabowo, yang tewas dalam dua pilihan raya presiden lalu kepada Jokowi dan kini menjadi Menteri Pertahanan serta Ganjar, antara pemimpin Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P), mendahului undian utama.

Tinjauan pendapat Charta Politika pada November 2022 menunjukkan bahawa jika bergandingan, mereka mampu mengalahkan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan Agus Harimurti Yudhoyono, anak sulung bekas presiden, Susilo Bambang Yudhoyono.

Jokowi pula tidak boleh bertanding untuk penggal ketiga selepas mencapai had dua penggal, seperti mana ditetapkan perlembagaan Indonesia.

Timbalan Pengerusi Lembaga Penasihat Gerindra, Hashim Djojohadikusumo, berkata peluang 'terbuka luas' untuk Ganjar menyertai perlumbaan itu, namun mencadangkan beliau mengisi slot naib presiden, manakala Prabowo menjadi calon presiden kerana kekananan dan pengalamannya.

"Prabowo mesti menjadi calon presiden, itu tidak boleh dirunding," katanya yang juga adik Prabowo, sambil menambah bahawa 99 peratus daripada program abangnya adalah selaras dengan agenda Jokowi.

Sekiranya bergandingan, Prabowo dan Ganjar berkemungkinan akan berdepan dengan Dr Anies dan pasangannya.

Dr Anies, 53, mendapat sokongan anggota gabungan pemerintah NasDem, Parti Keadilan Sejahtera Islam dan Parti Demokrat, yang bersama-sama membentuk Gabungan Perubahan, untuk bertanding sebagai calon presiden.

Penyelidik kanan di Pusat Penyelidikan Politik Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan, Profesor Firman Noor, berkata walaupun potensi gandingan Prabowo-Ganjar nampaknya menjanjikan, ia akan menjadi perjanjian yang 'sukar lagi rumit' untuk dicapai.

Antara halangan utama ialah syarat Gerindra supaya Prabowo bertanding sebagai calon presiden.

"Sekiranya Ganjar sanggup, itu mungkin berlaku. Tetapi dia mungkin merasakan bahawa ketika mendahului Prabowo dalam beberapa tinjauan, kedudukannya untuk tawar-menawar sekurang-kurangnya harus sama.

"Oleh itu, Ganjar mempunyai pilihan lain jika mahu bertanding sebagai calon presiden, umpamanya mendapatkan sokongan Gabungan Indonesia Bersatu membabitkan parti tertua Indonesia Golkar, Parti Amanat Nasional dan Parti Pembangunan Bersatu," katanya.

Hasil tinjauan ke atas 1,220 responden oleh Penyelidikan dan Perundingan Saiful Mujani yang dikeluarkan minggu ini mendedahkan Ganjar kekal berada di hadapan untuk pilihan raya presiden 2024, mendahului Prabowo dan Dr Anies. - AGENSI

Berita Harian X