BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha hari ini secara rasmi dinamakan sebagai calon pertama partinya untuk pemilihan semula pemimpin negara itu pada pilihan raya ditetapkan pada 14 Mei ini.
Prayut, 69, mewakili Parti Negara Thailand Bersatu yang baharu, berkemungkinan menentang parti Pheu Thai Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan dan anak saudara kepada dua bekas perdana menteri daripada keluarga bilionair itu.
Beliau dilantik ke jawatan itu sejak 2014 apabila tentera menggulingkan kerajaan, dipilih sebagai pemimpin awam pada 2019.
Veteran tentera itu mengatasi pesaing dalam tinjauan pendapat, tetapi berharap dapat meraih sokongan menerusi manifesto menjaga kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara serta melindungi monarki.
"Kami menawarkan diri untuk membuat semua pihak gembira," katanya berucap pada acara memperkenalkan calon parti itu bagi semua 400 kawasan.
Beliau berkata, kerajaan baharu akan meneruskan kelangsungan pentadbirannya ketika ini menerusi slogan: "Sudah, sedang dan akan terus melaksanakan".
"Paling penting ialah mempertahankan negara dan melindungi institusi utama negara. Tolong percaya saya seperti yang anda selalu lakukan," katanya.
Pemimpin parti, Pirapan Salirathavibhaga dicalonkan sebagai calon kedua parti itu bagi jawatan perdana menteri.
Pilihan raya Thailand dijangka menjadi medan pertembungan antara pertubuhan elit dan pasukan prodemokrasi yang mendominasi politik di negara itu sejak beberapa dekad. - REUTERS