Khamis, 23 March 2023 | 2:54pm
lapangan terbang Antarabangsa Ngurah Rai di bali, Indonesia yang ditutup sempena sambutan hari Nyepi. - Foto AFP
lapangan terbang Antarabangsa Ngurah Rai di bali, Indonesia yang ditutup sempena sambutan hari Nyepi. - Foto AFP

Bali sunyi rai hari Nyepi

BALI: Tiada Internet, tiada membeli-belah dan tiada penerbangan sejak semalam apabila pulau peranginan Indonesia, Bali, sunyi-sepi kerana penduduk tempatan serta pengunjung menyambut hari Nyepi, iaitu Tahun Baru bagi orang Bali.

Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, yang mengendalikan sekitar 50,000 penumpang domestik dan antarabangsa setiap hari, ditutup kepada semua perjalanan udara, kecuali darurat, dari subuh Rabu hingga terbit matahari pada Khamis.

Bank Indonesia berkata, perkhidmatan bank, termasuk mesin pengeluaran wang tunai ATM, tidak boleh digunakan sepanjang 48 jam bermula tengah malam Selasa.

Pemerintah Bali mengarahkan stesen penyiaran dan perkhidmatan Internet dihentikan.

Selain meminta penduduk menyiapkan lebih awal bagi bekalan makanan, wang tunai dan petrol serta lain-lain untuk bertahan hingga Khamis.

Hari Nyepi tahun ini lebih istimewa kerana buat pertama kali dalam masa empat tahun, orang-orang Bali menyambutnya tanpa sekatan pandemik COVID-19.

Semasa Bali ditutup kepada pelancong akibat pandemik 2020, pegawai melarang perarakan dan perayaan tradisional menjelang hari Tahun Baru Bali dan menggesa orang ramai berdiam di rumah.

"Tahun ini, kami merayakan Nyepi tanpa sebarang sekatan seperti yang pernah kami alami semasa pandemik," kata Nyoman Kenak, pengerusi cawangan Bali, Majlis Agama Hindu Indonesia, kepada akhbar The Straits Times.

Pada hujung minggu, penganut Hindu, berduyun-duyun menuju ke pantai pulau peranginan itu, bagi merayakan Melasti - satu perayaan menyucikan alam semesta.

Pada malam sebelum hari Nyepi, penduduk di kampung menyediakan patung 'ogoh-ogoh' menurut kepercayaan Hindu, dan dibawa berarak sekeliling pulau itu.

Bagai sebahagian penduduk Bali, inilah masanya bagi mereka merayakan sesuatu dengan tidak terlalu terikat kepada aturan keagamaan.

Tahun ini juga adalah yang pertama menyaksikan hari Nyepi jatuh pada hari pertama umat Islam menyambut bulan suci Ramadan. - AGENSI

Berita Harian X