JAKARTA: Parlimen Indonesia, hari ini meluluskan dekri tergempar oleh Presiden Joko Widodo bagi mengukuhkan peraturan berhubung pelaburan dan pekerjaan dalam ekonomi terbesar Asia Tenggara itu, satu langkah yang dikatakan oleh beberapa pakar undang-undang melanggar keputusan mahkamah.
Undang-undang itu yang menyemak lebih 70 undang-undang lain dipuji pelabur asing kerana memperkemas peraturan perniagaan, namun dikritik kumpulan buruh dan alam sekitar sebagai terlalu pro perniagaan.
Perubahan di bawah undang-undang pada 2020 itu, termasuk pemotongan faedah pemberhentian, had gaji minimum baharu dan mengeluarkan beberapa cuti berbayar mandatori, selain melonggarkan peraturan mengenai pemeriksaan alam sekitar untuk pelaburan.
Pada 2021, Mahkamah Perlembagaan memutuskan Undang-Undang Penciptaan Kerajaan 2020 adalah cacat, mengatakan terdapat perundingan awam yang tidak mencukupi sebelum undang-undang itu diluluskan.
Mahkamah kemudian mengarahkan proses perbahasan diperbaharui di Parlimen dalam tempoh dua tahun.
Kelulusan dekri itu hari ini, bermakna kebanyakan perubahan yang dibawa undang-undang akan kekal dengan beberapa perubahan kecil kepada peraturan buruh.
Beberapa pakar undang-undang mengkritik dekri itu sebagai muslihat kerajaan untuk melangkaui perintah mahkamah, namun pegawai kerajaan berkata, dekri berkenaan diperlukan bagi menjamin kepastian undang-undang selepas keputusan mahkamah.
Pakar juga mempersoalkan penggunaan dekri itu yang secara rasmi dikenali peraturan kerajaan sebagai ganti kepada undang-undang, terutama selepas Parlimen menangguhkan undiannya selama lebih sebulan.
Di bawah Perlembagaan Indonesia, seorang presiden sepatutnya hanya menggunakan dekri seumpama itu untuk menangani kecemasan dan Parlimen sepatutnya mengundi dekri itu pada sidang pertama selepas ia dikeluarkan.
Jokowi mengeluarkan dekri pekerjaan itu pada Disember, dengan alasan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan memberinya asas undang-undang untuk melaksanakan kuasa eksekutif, namun Parlimen gagal membawanya kepada pengundian lebih luas sebelum memasuki fasa rehat pada Februari.
Dua daripada sembilan parti di Parlimen menentang dekri itu ketika sidang pleno, dengan anggota parti Islam pembangkang, Parti Keadilan Sejahtera, keluar dari dewan, sebelum Speaker Puan Maharani mengumumkan undian sudah diluluskan.
Parti Buruh, yang ketika ini tidak mempunyai kerusi di Parlimen, tetapi merancang untuk bertanding pada pilihan raya 2024 berhasrat untuk mengadakan perhimpunan membantah kelulusan dekri itu pada Selasa. - REUTERS