MANILA: Kebocoran minyak dari sebuah kapal tangki yang karam di wilayah Oriental Mindoro bulan lalu telah mencecah kawasan perlindungan marin Filipina, kata Pengawal Pantai Filipina (PCG) pada Isnin.
Komander stesen PCG Batangas, Kapten Victorino Acosta berkata, tompokan minyak itu dikesan pada pagi Isnin di Laluan Pulau Verde antara wilayah Batangas dan pulau Mindoro, lapor Xinhua.
Kawasan ini adalah habitat utama ikan, karang, krustasea, rumpai laut dan bakau, yang digambarkan sebagai satu daripada pusat biodiversiti marin global.
Ia juga adalah habitat kepada spesies terancam, termasuk penyu sisik, jerung paus, pari manta, dugong, kerapu dan kerang gergasi.
Laluan Pulau Verde juga merupakan lokasi kegemaran para penyelam yang tertarik dengan pemandangan batu karang yang cantik.
MT Princess Empress yang membawa 800,000 liter minyak industri itu tenggelam di Oriental Mindoro pada 28 Februari, menyebabkan tumpahan minyak.
Kapal malang itu dilaporkan belayar dari wilayah Bataan, ke wilayah Iloilo di tengah Filipina sebelum mengalami masalah enjin dan karam.
Menurut data kerajaan, tumpahan itu menjejaskan hampir 152,000 penduduk di 131 kampung.
Berpuluh-puluh orang juga dilaporkan jatuh sakit akibat insiden itu.
Pegawai bandar Pola Lysander Fetizanan memberitahu bahawa bencana itu telah menjejaskan mata pencarian dan persekitaran penduduk bandar.
"(Bencana laut) telah menjejaskan cara hidup dan kehidupan kami," kata Fetizanan.– BERNAMA-XINHUA