Ahad, 19 March 2023 | 2:11pm
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan, yang juga calon Perdana Menteri parti Palang Pracharat, bertemu penyokong ketika berkempen menjelang pilihan raya umum (PRU) Thailand. - Foto REUTERS
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan, yang juga calon Perdana Menteri parti Palang Pracharat, bertemu penyokong ketika berkempen menjelang pilihan raya umum (PRU) Thailand. - Foto REUTERS

Thailand bersedia untuk pilihan raya

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha menyediakan watikah bagi pembubaran Parlimen menjelang pilihan raya umum (PRU), ketika kerajaannya menuju ke minggu-minggu terakhir pemerintahan empat penggalnya.

Watikah itu memerlukan kelulusan Raja Thailand dan akan berkuat kuasa sebaik saja diterbitkan dalam Warta Diraja dan PRU mesti diadakan dalam tempoh 45 hingga 60 hari selepas pembubaran.

"Saya sudah sediakan watikah, kita kena tunggu pengumuman dalam Warta Diraja," katanya.

PRU kali ini akan mempertemukan keluarga bilionair Shinawatra dengan parti yang disokong oleh tentera diraja dan golongan konservatif kaya, dalam apa yang menjadi perebutan kuasa selama 18 tahun dalam ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu.

Prayut, seorang jeneral bersara yang berkuasa sejak mengetuai rampasan kuasa terhadap kerajaan Yingluck Shinawatra pada 2014, akan bertanding di bawah parti baharu United Thai Nation.

Timbalannya, Prawit Wongsuwan, yang juga calon Perdana Menteri parti Palang Pracharat, adalah seorang lagi calon berpotensi untuk menang PRU kali ini.

Tentangan mereka ialah Paetongtarn Shinawatra, anak perempuan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra dan anak saudara Yingluck.

Dalam tinjauan pendapat, Paetongtarn, 36, dilihat sebagai pilihan utama untuk Perdana Menteri Thailand yang akan datang.

Jumaat lalu, beliau menggariskan dasar termasuk menambah baik keadaan buruh, menjamin gaji minimum yang lebih tinggi, mengurangkan pencemaran dan menjadikan Thailand sebagai hab teknologi kewangan.

"Saya harap semua orang dapat menang besar dalam PRU, memenangi hati majoriti rakyat.

Bersama kita menyelesaikan masalah yang bertimbun sejak lapan tahun lalu, kurangkan dan selesaikan sama sekali," katanya kepada calon yang berhimpun, menerima tepukan gemuruh.

Meskipun Pheu Thai menang paling banyak kerusi, perdana menteri tidak semestinya dipilih daripada parti itu.

Jawatan tertinggi itu dipilih melalui undian penggubal undang-undang yang dipilih dan 250 anggota Senat yang dilantik.

Senat secara umumnya dijangka mengundi secara satu blok yang memihak kepada calon konservatif dan menentang sesiapa saja dari kem Shinawatra. - AGENSI

Berita Harian X