PHNOM PENH: Mahkamah Kemboja hari ini menjatuhkan hukuman penjara 27 tahun terhadap pemimpin pembangkang utama, Kem Sokha, atas kesalahan khianat, dalam kes yang didakwa kumpulan hak asasi sebagai bermotifkan politik.
"Kem Sokha dihukum penjara 27 tahun atas pertuduhan bersubahat dengan warga asing dalam pakatan sulit yang dilakukan di Kemboja dan tempat lain," kata Hakim Koy Sao pada prosiding di mahkamah di Phnom Penh.
Kem Sokha, 69, adalah pengasas bersama Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) yang kini sudah dibubarkan, dan dilaporkan sebagai musuh Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, sejak sekian lama.
Mahkamah juga melucutkan hak Kem Sokha untuk mengundi, di samping melarangnya bertanding jawatan politik.
Sejurus keputusan mahkamah itu, Kem Sokha segera dibawa pulang ke kediamannya di mana dia diletakkan bawah tahanan rumah dan dilarang berjumpa sesiapa pun yang bukan ahli keluarganya.
Peguam, Ang Udom yang mewakili Kem Sokha, memberitahu pemberita bahawa anak guamnya mempunyai tempoh sebulan untuk merayu sabitan dan hukuman penjara itu.
Sebelum ini, Kem Sokha ditahan dalam satu operasi tengah malam pada 2017 yang membabitkan ratusan anggota keselamatan.
Dia didakwa terbabit 'rancangan rahsia' melalui pakatan sulit dengan entiti asing, untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Hun Sen. Bagaimanapun, Kem Sokha berulang kali menafikan pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Pengkritik mendakwa Hun Sen menggunakan mahkamah untuk menyekat pihak lawan yang menyaksikan sejumlah aktivis pembangkang dan pembela hak asasi manusia dipenjarakan.
Duta Amerika Syarikat (AS) ke Kemboja, W Patrick Murphy yang turut berada di mahkamah pula menyelar perbicaraan serta hukuman itu sebagai 'miscarriage of justice' atau ditakrifkan sebagai 'kesilapan mahkamah' - keadaan apabila seseorang yang tidak bersalah dihukum oleh mahkamah.
Dua bulan selepas penahanan Kem Sokha, Mahkamah Agung Kemboja memerintahkan pembubaran CNRP - yang pernah dianggap sebagai satu-satunya parti lawan mampu memberi saingan kepada parti pemerintah, Parti Rakyat Kemboja (CPP).
Ia sekali gus membuka laluan kepada CPP serta Hun Sen untuk memenangi kesemua 125 kerusi Parlimen pada pilihan raya 2018, dan menjadikan Kemboja sebagai 'negara satu parti.' - AFP