MANILA: Sebahagian daripada 800,000 liter bahan api industri dibawa kapal tangki Filipina yang karam, melimpah ke laut dengan pihak berkuasa ketika ini, giat membendung tumpahan itu.
Pengawal pantai berkata, ia sudah merebak seluas 24 kilometer persegi kawasan perairan, semalam.
Tidak diketahui berapa banyak diesel dan bahan api industri yang tumpah ke laut.
Namun, katanya, hasil ujian sampel air mendapati beberapa kargo di perairan perbandaran Naujan juga bocor, mencetuskan kebimbangan terhadap kehidupan marin dan terumbu karang di rantau itu.
Rentetan itu, perangkap tumpahan minyak turut dipasang bagi membendung bahan api terbabit daripada tersebar lebih luas.
Nelayan dan pengusaha pelancongan di pesisir pantai yang sangat bergantung kepada perairan bimbang kejadian itu akan menjejaskan pendapatan mereka.
Kapal The Princess Empress itu mengalami masalah enjin dan karam di perairan dekat wilayah Oriental Mindoro ketika dalam perjalanan dari wilayah Bataan, berhampiran Manila, ke wilayah Iloilo, Selasa lalu.
Pengawal Pantai Filipina awalnya melaporkan tumpahan itu berpunca daripada kebocoran diesel yang menjadi bahan api kapal terbabit dan bukannya bahan api industri daripada kargo.
Sementara itu, gabenor Humerlito Dolor, berkata pencarian kapal tangki itu masih dijalankan, selain menganggarkannya berada pada kedalaman 460 meter di bawah paras laut, sebelum menghentikan kebocoran.
"Pengawal pantai memberi jaminan, mereka bersedia untuk menyedut minyak sejurus (lokasi) dikenal pasti. Malangnya, kami masih gagal mencari lokasi kapal terbabit, selepas dua pengawasan udara (penerbangan) dibuat," katanya kepada media tempatan.
Ketua operasi bencana Oriental Mindoro, Ram Temena pula berkata, minyak dikesan di sepanjang hampir 60 kilometer kawasan perairan, antara Naujan dan perbandaran Bongabong.
"Kita memiliki banyak lokasi perlindungan ikan di sepanjang pantai. Ia boleh memberi impak besar kerana minyak mungkin boleh melekat pada terumbu karang, menjejaskan biodiversiti marin," katanya. - AFP