BALI: Seorang ahli politik Bali menggesa keluarga di pulau peranginan itu mempunyai lebih ramai anak supaya nama Nyoman dan Ketut dapat dikekalkan.
Gabenor Bali, Wayan Koster, berkata program perancangan keluarga Indonesia yang menggalakkan pasangan suami isteri mempunyai hanya dua orang anak tidak selaras dengan adat dan tradisi Bali.
Ini termasuk menamakan anak mengikut urutan kelahiran mereka, di mana mengikut tradisi Bali, setiap keluarga menamakan anak mereka mengikut urutan kelahiran, yang terpakai kepada anak lelaki dan perempuan.
Anak sulung diberi nama Gede, Putu atau Wayan, manakala anak kedua dipanggil Made atau Kadek, anak ketiga dinamakan Nyoman atau Komang, manakala anak keempat, Ketut.
"Semak pendaftaran pelajar baharu di sekolah rendah... berapa bilangan Nyoman; ada berapa Ketut? Sudah pasti, ia sudah semakin jarang dijumpai.
"Jika semua orang mempunyai dua orang anak, ini bermakna nama 'Nyoman' dan 'Ketut' boleh pupus. Kami akan kehilangan aspek tradisi ini," katanya Koster.
Urutan itu berulang untuk kelahiran yang berikutnya, tetapi dengan akhiran 'Balik' ditambah pada nama mereka. Sebagai contoh, nama anak kelima ialah Wayan Balik.
Wayan berkata, ibu bapa dalam kalangan warga Bali tidak perlu bimbang mengenai kos yang perlu ditanggung jika mempunyai jumlah anak yang ramai, sambil memberi jaminan bahawa kerajaan akan membantu setiap keluarga. - AGENSI