Sabtu, 25 Februari 2023 | 11:03am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Polis Jakarta rampas syabu RM121 juta

JAKARTA - Polis Jakarta Barat menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Malaysia selepas penahanan enam lelaki tempatan.

Ketuanya, Pasma Royce, dalam satu kenyataan berkata, pihak polis berjaya merampas 227 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM121 juta dalam empat serbuan berasingan di Tangerang, Riau, Medan dan Aceh.

Kesemua suspek disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Pasma berkata, penahanan itu dilakukan selepas bukti ditemui dan rangkaian penghantaran terbongkar di kawasan Cengkareng, Jakarta Barat.

Tambah beliau, dadah yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari Malaysia menggunakan jalan laut dan siasatan yang dijalankan turut membongkar hubungan antara sindiket dadah tempatan dengan kartel dadah antarabangsa.

Polis Metropolitan Jakarta, Fadil Imran, memuji kejayaan Polis Jakarta Barat menumpaskan cubaan penyeludupan dadah transnasional.

Sementara itu, di Malaysia, polis Perlis pada Khamis menggagalkan cubaan sindiket dadah menyeludup 1.8 tan syabu bernilai RM68.4 juta menggunakan lori tunda bagi menunda sebuah lagi lori yang membawa bahan terlarang itu. - BERNAMA

Berita Harian X