JAKARTA: Indonesia membangkitkan isu Laut China Selatan pada mesyuarat keempat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala (JCBC) Indonesia-China, semalam.
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, berkata rundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan perlu segera diteruskan selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19.
Beliau berkata, Indonesia dan ASEAN ingin menghasilkan CoC yang 'efektif, substantif serta mampu tindak.'
"Indonesia ingin melihat Laut China Selatan sebagai perairan yang damai dan stabil. Menghormati undang-undang antarabangsa, terutama UNCLOS 1982, menjadi kunci," katanya pada sidang media bersama rakan sejawat dari China, Qin Gang, di sini.
Isu Myanmar dan pelaksanaan 'ASEAN Outlook on the Indo-Pacific' untuk ASEAN, selain aspek perdagangan, pelaburan, kerjasama dalam bidang kesihatan serta kesalinghubungan antara kedua-dua negara itu turut dibincangkan.
Qin Gang tiba untuk lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia, kelmarin, yang juga kunjungan pertama beliau ke rantau ini sejak pelantikannya pada hujung tahun lalu.
Sebelum mesyuarat JCBC, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, di Istana Merdeka.
Pada pertemuan itu, Retno berkata, Qin Gang menyampaikan komitmen China untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama serta import dari Indonesia, khususnya produk pertanian.
Jokowi pula berharap kerjasama strategik dipertingkatkan, termasuk menyiapkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Jakarta-Bandung, pembinaan taman industri hijau di Kalimantan, pembinaan Nusantara serta dalam industri hiliran. – BERNAMA