MANILA: Filipina dan Amerika Syarikat (AS) sedang berbincang untuk membuat rondaan pengawal pantai bersama, termasuk di Laut China Selatan.
Rentetan pertindihan tuntutan kedaulatan di laluan air strategik, Filipina meningkatkan retorik terhadap apa yang disifatkan sebagai 'aktiviti agresif' Beijing di Laut China Selatan, yang juga punca ketegangan China-AS membabitkan operasi tentera laut.
Bercakap mengenai isu Laut China Selatan kepada CNN Filipina hari ini, jurucakap Pengawal Pantai Filipina (PCG), Jay Tarriela, berkata perbincangan dengan AS sudah melangkaui peringkat awal dengan kemungkinan tinggi rondaan bersama dilaksanakan.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan skala yang dicadangkan atau masa rondaan yang dibuat selepas Pentagon bulan ini berkata AS-Filipina 'bersetuju memulakan semula rondaan maritim bersama di Laut China Selatan'.
"Sudah ada haluan jelas mengenai kemungkinan ini, memandangkan Jabatan Pertahanan AS menyokong rondaan bersama dengan tentera laut Filipina-AS.
"Justeru, ada kepastian untuk rondaan bersama ini berlaku antara pengawal pantai kedua-dua negara.
"Ia juga mungkin dijalankan di Laut China Selatan, bagi menyokong kebebasan penggunaan laluan laut oleh kerajaan AS," katanya.
Kedutaan China di Manila bagaimanapun enggan mengulas isu mengenai berkenaan.
Sementara itu, bekas Naib Komander Tentera Laut Filipina, Rommel Jude Ong, berkata idea mengerahkan pengawal pantai di Laut China Selatan, bukannya tentera laut, akan 'mengelakkan sebarang salah anggap dan menghalang Beijing mencari alasan meningkatkan ketegangan' di perairan berkenaan.
PCG awal bulan ini, menuduh pengawal pantai China menyasarkan 'laser gred tentera' terhadap kapalnya yang melakukan misi menghantar bekalan semula untuk tentera di kawasan terumbu laut, sekali gus mencetuskan kebimbangan negara lain, termasuk Jepun, Australia dan AS.
China bagaimanapun menafikan dakwaan PCG, selain menyifatkannya tidak mencerminkan kebenaran.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, minggu lalu memanggil Duta China bagi menyuarakan kebimbangan terhadap kekerapan tindakan keterlaluan Beijing di Laut China Selatan. - REUTERS