Ahad, 19 Februari 2023 | 5:32pm
Paetongtarn Shinawatra, 36, calon utama parti Pheu Thai sebagai calon perdana menteri sempena pilihan raya umum Thailand, menyertai kempen di sebuah kuil di Ubon Ratchathani. - Foto REUTERS
Paetongtarn Shinawatra, 36, calon utama parti Pheu Thai sebagai calon perdana menteri sempena pilihan raya umum Thailand, menyertai kempen di sebuah kuil di Ubon Ratchathani. - Foto REUTERS

Anak Thaksin harapkan nostalgia untuk menang PRU Thailand

AMNAT CHAROEN: Bersandarkan legasi populariti keluarga bilionair dan kemenangan besar dalam pilihan raya umum (PRU) Thailand, Paetongtarn Shinawatra kini muncul sebagai calon popular bagi meneruskan warisan itu.

Beliau, yang juga anak bekas perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, mempertaruhkan nostalgia rakyat terhadap keluarganya bagi memenangi jutaan undi kelas pekerja.

Paetongtarn, 36, kini rancak berkempen di kubu kuat keluarga Shinawatra di luar bandar yang sarat dengan undi bagi kumpulan besar parti politik Pheu Thai.

Beliau berharap dapat menghidupkan semula gelombang semangat yang dinikmati bapanya, Thaksin dan ibu saudara, Yingluck, juga bekas Perdana Menteri Thailand, yang pernah memenangi besar pada PRU sebelum ini.

Sebagai ahli politik baru, Paetongtarn menjanjikan warga Pheu Thai beliau akan menyelesaikan urusan yang belum selesai sejak tiga tempoh keluarganya memegang jawatan pada 2001.

Kepimpinan keluarga Shinawatra dipendekkan oleh keputusan mahkamah dan rampasan kuasa tentera yang dikatakan didalangi oleh pertubuhan konservatif Thailand.

"Kami berjaya memperbaiki segala-galanya pada tahun pertama tetapi empat tahun kemudian kami digulingkan oleh rampasan kuasa.

"Kami pergi ke setiap tempat untuk memberitahu rakyat bagaimana dasar kami boleh mengubah kehidupan mereka dan hanya melalui politik yang stabil, kehidupan rakyat boleh berubah secara mampan.

"Jadi, ada perkara yang belum kami capai," kata Paetongtarn kepada Reuters dalam wawancara rasmi pertamanya dengan media asing menjelang PRU, dijangka diadakan pada bulan Mei ini.

Thaksin dan Yingluck digulingkan oleh tentera masing-masing pada 2006 dan 2014, walaupun ketika itu Thailand menikmati pertumbuhan ekonomi yang baik.

Kedua-duanya tinggal dalam buangan untuk mengelakkan sabitan penjara yang dikatakan direka untuk menghalang kebangkitan politik mereka.

Paetongtarn Shinawatra, 36, calon utama parti Pheu Thai sebagai calon perdana menteri sempena pilihan raya umum Thailand, bergambar bersama penyokong ketika kempen di Kanchanaburi. - Foto REUTERS
Paetongtarn Shinawatra, 36, calon utama parti Pheu Thai sebagai calon perdana menteri sempena pilihan raya umum Thailand, bergambar bersama penyokong ketika kempen di Kanchanaburi. - Foto REUTERS

Tugas itu kini diserahkan kepada Paetongtarn, anak bongsu Thaksin, yang menggunakan strategi sama dengan menawarkan kenaikan gaji minimum, subsidi utiliti dan infrastruktur kereta api berkelajuan tinggi yang sudah lama dijanjikan selain menangani banjir serta kemarau.

Slogan 'Think Big, Act Smart' (Berfikiran Besar, Bertindak Cerdik) menyasarkan pembaharuan tambahan oleh kerajaan Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha, yang disokong tentera sejak beliau merampas kuasa pada 2014.

"Gambaran itu mestilah besar dan kita mesti dapat menangani masalah lama yang berlarutan. Ini mesti ditangani sepenuhnya," kata Paetongtarn.

Walaupun belum dinamakan sebagai calon perdana menteri parti Pheu Thai, Paetongtarn jauh di hadapan dalam tinjauan pendapat untuk dicalonkan sebagai perdana menteri, du kali ganda berbanding sokongan kepada Prayuth.

Pheu Thai dijangka memenangi undi terbanyak, tetapi mungkin bergelut untuk memimpin kerajaan memandangkan pengaruh tentera ke atas Senat yang dilantik turut berada di Dewan Rakyat untuk memilih perdana menteri.

Paetongtarn berkata beliau kerap berunding dan kekal rapat dengan bapanya, yang banyak meluangkan masa tinggal di Dubai.

Keadannya yang hamil tujuh bulan menjadi kebimbangan utama Paetongtarn dalam kempennya kali ini.

"Tetapi saya OK, Ini kehamilan kedua saya. Saya sedar diri saya. Saya tidak akan bertindak terlalu keras," katanya.

Di sebalik populariti pilihan raya mereka, keluarga Shinawatra turut dibenci di Thailand sebagaimana mereka disayangi.

Keluarga itu sudah lama dituduh oleh penentang kronisme bahawa mereka hanya memperkaya rakan perniagaan dan 'membeli' sokongan orang miskin dengan dasar popular yang sebenarnya membazir, namun Shinawatra menafikan tuduhan itu.

PRU Thailand bakal menjadi satu lagi arena perlawanan melunaskan dendam antara golongan elit yang berperang dalam ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu.

Paetongtarn berkata beliau tetap bimbang mengenai kesan impak perebutan kuasa yang sukar dihentikan di negara itu, membabitkan keluarganya sendiri, termasuk rampasan kuasa, yang katanya menjadikan Thailand mundur.

"Ia juga menjadikan dunia melihat negara kita dalam perspektif yang berbeza, mereka tidak mahu berdagang dengan kami. Ia mengurangkan peluang untuk semua orang.

"Negara kita dibekukan sekian lama. Jadi, rampasan kuasa tidak sepatutnya berlaku lagi. Negara mesti maju dan rakyat berhak mendapat kehidupan yang lebih baik," katanya. - REUTERS

Berita Harian X