Sabtu, 18 Februari 2023 | 3:56pm
Foto hiasan
Foto hiasan

'Tiada seinci wilayah Filipina akan hilang' - Ferdinand Marcos

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr hari ini memberi amaran, negara itu 'tidak akan hilang walau satu inci' wilayahnya, susulan ketegangan maritim yang berterusan dengan Beijing di Laut China Selatan.

Negara itu memprotes tindakan yang digelar 'aktiviti agresif' Beijing yang mencetuskan pertikaian berpanjangan ke atas Laut China Selatan.

"Negara ini sudah menyaksikan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat yang tidak menepati cita-cita keamanan kita dan mengancam keselamatan dan kestabilan negara, rantau ini dan dunia.

"Negara ini tidak akan kehilangan satu inci pun wilayahnya. Kami akan terus mempertahankan integriti dan kedaulatan wilayah kami mengikut perlembagaan dan undang-undang antarabangsa.

"Kami akan bekerjasama dengan jiran kami untuk menjamin keselamatan dan keselamatan rakyat kami," kata Marcos dalam ucapan pada majlis kepulangan alumni tentera.

Kedutaan Beijing di Manila bagaimanapun tidak menjawab permintaan untuk memberikan komen mengenai perkara itu.

Kementerian Luar China bagaimanapun berkata, pengawal pantainya menjalankan tindakan mengikut undang-undang.

Selasa lalu, Marcos memanggil utusan China untuk menyatakan 'kebimbangan seriusnya' terhadap 'kekerapan dan tekanan tindakan yang meningkat' Beijing terhadap Pengawal Pantai Filipina dan nelayan Filipina di Laut China Selatan.

Kementerian Luar Filipina pada Selasa lalu juga memfailkan bantahan diplomatik selepas pengawal pantai Manila melaporkan pihak dari China mengarahkan 'laser gred tentera' terhadap satu kapalnya yang menyokong misi bekalan semula kepada tentera serta membutakan pemantauan sementara anak kapalnya.

Bagaimanapun, Marcos melihat insiden laser itu sebagai tidak memadai untuk memohon perjanjian pertahanan bersama dengan Amerika Syarikat, yang juga sekutu lamanya.

"Jika kami mengaktifkannya, ia akan meningkatkan ketegangan di kawasan itu dan saya fikir ia akan menjadi tidak produktif," kata Marcos kepada pemberita.

Marcos berkata, beliau turut berbincang dengan duta China ke Manila mengenai tindakan marin, pengawal pantai dan tentera laut China, termasuklah insiden menunjuk laser.

Tindakan China baru-baru ini berlaku hanya sebulan selepas lawatan Marcos ke Beijing, di mana kedua-dua negara berjanji untuk menangani pertikaian secara aman dan meningkatkan kerjasama.

China menuntut sebahagian besar laluan air strategik, yang mempunyai nilai kira-kira AS$3 trilion (RM13.3 trilion) dalam perdagangan kapal setiap tahun dam ia dinyatakan tidak sah oleh tribunal antarabangsa di The Hague pada 2016. - REUTERS

Berita Harian X