Jumaat, 17 Februari 2023 | 2:54pm
Indonesian President Joko Widodo gestures as he talks during an interview at the Presidential Palace in Jakarta, Indonesia, February 1, 2023. REUTERS/Willy Kurniawan
Indonesian President Joko Widodo gestures as he talks during an interview at the Presidential Palace in Jakarta, Indonesia, February 1, 2023. REUTERS/Willy Kurniawan

Aturan kerja kontroversi diusulkan Jokowi dapat kelulusan

JAKARTA: Badan perlembagaan Indonesia meluluskan peraturan Cipta Kerja kontroversi yang diusulkan oleh Presiden Joko Widodo, sekali gus membuka jalan bagi peraturan itu dibahaskan sebelum diterima menjadi undang-undang.

Menurut beberapa anggota Parlimen negara itu, presiden yang lebih dikenali dengan panggilan 'Jokowi', mengeluarkan perisytiharan darurat pada hujung 2022, untuk menggantikan undang-undang Cipta Kerja yang sedia ada.

Hujah beliau adalah keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, memberinya kebenaran di bawah undang-undang bagi melaksanakan kuasa eksekutifnya.

Selepas diluluskan oleh Parlimen, perisytiharan itu akan menjadi satu undang-undang tetap walaupun kini dibantah kesatuan sekerja seluruh Indonesia.

Mula diluluskan pada 2020, undang-undang Cipta Kerja itu menyemak semula lebih 70 undang-undang lain dan ia disenangi oleh pelabur asing untuk memperkemas peraturan perniagaan mereka di negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu.

Namun, pengkritik melihat undang-undang berkenaan sebagai menggugat hak pekerja dan menghakis perlindungan alam sekitar, mendorong kesatuan sekerja di seluruh Indonesia melakukan bantahan secara besar-besaran.

Bagaimanapun, Mahkamah Perlembagaan negara itu memutuskan pada 2021 bahawa undang-undang itu serba kekurangan kerana kurang rundingan dengan pihak awam dan mengarahkan diadakan perbahasan baru di Parlimen dalam masa dua tahun.

Beberapa pakar undang-undang mengkritik perisytiharan darurat Jokowi itu sebagai satu muslihat untuk memintas perbahasan yang patut diadakan dan tidak mematuhi perintah mahkamah.

Kesatuan sekerja menganjurkan beberapa protes secara kecil-kecilan bagi membantah perisytiharan itu.

Pada Januari 2023, satu kumpulan rakyat Indonesia meminta Mahkamah Perlembagaan negara itu menyemak semula perisytiharan berkenaan.

Pengerusi Badan Perundangan Parlimen, Abdul Wahid, berkata prosedur biasa seperti itu akan memakan masa terlalu lama dan 'terdapat keperluan segera bagi menghuraikan isu undang-undang dengan cepat'.

Sehingga kini, belum diketahui bila Parlimen akan menjalankan pengundian terhadap peraturan darurat yang diusulkan Jokowi itu, yang mana pemerintah campuran beliau menguasai lebih 80 kerusi dalam Parlimen negara itu.

Biasanya, anggota Parlimen akan memberikan persetujuan terhadap pengesahan yang dibuat oleh Badan Perundangan itu. - REUTERS

Berita Harian X