MANILA: Pengawal Pantai Filipina hari ini mendakwa kapal pengawal pantai China memancarkan lampu laser gred tentera ke arah salah satu botnya di Laut China Selatan, mengganggu seketika penglihatan anak kapalnya.
Dalam satu kenyataan, mereka menjelaskan kes itu berlaku pada 6 Februari lalu, hampir 20 kilometer (km) dari Beting Thomas Kedua di Kepulauan Spratly, lokasi penempatan tentera marin Filipina.
Ia episod terbaru dalam siri pertembungan maritim Filipina-China, yang menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan, sekali gus mengabaikan keputusan mahkamah antarabangsa bahawa tuntutan China tiada asas undang-undang.
Kes itu juga berlaku beberapa hari selepas Amerika Syarikat (AS) dan Filipina bersetuju menyambung semula rondaan bersama di perairan serta mencapai perjanjian untuk memberi akses kepada tentera AS ke pangkalan tentera keempat di negara itu.
Bot peronda Filipina yang terjejas itu sedang dalam 'misi penggiliran dan pembekalan semula' untuk tenteranya minggu lalu, yang menjadikan sebuah kapal yang terkandas sebagai pangkalannya bagai menegaskan tuntutan Manila terhadap beting berkenaan.
"Kapal Pengawal Pantai China itu memancarkan cahaya laser hijau gred tentera dua kali ke arah kapal Filipina, menyebabkan gangguan penglihatan sementara kepada anak kapalnya di jambatan," menurut kenyataan yang dikeluarkan.
Kapal China itu juga melakukan gerakan berbahaya dengan menghampiri pada jarak kira-kira 140 meter dari bot Filipina.
"Halangan disengaja ke atas kapal kerajaan Filipina untuk menghantar makanan dan bekalan kepada anggota tentera kami adalah satu pengabaian secara terang-terangan dan jelas melanggar hak kedaulatan di Laut Filipina Barat," katanya.
Tidak jelas sama ada misi pembekalan semula ke Beting Thomas Kedua itu berjaya, di mana kapal milik persendirian lazimnya digunakan untuk membawa bekalan, dengan pengawal pantai mengiringi mereka.
Kedutaan China di Manila belum memberi sebarang reaksi terhadap persoalan itu.
Januari lalu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping, bersetuju untuk mengadakan komunikasi terus antara kementerian luar mereka bagi mengelak 'salah faham' di kawasan itu.
Perjanjian AS-Filipina awal bulan ini menjadikan sejumlah sembilan pangkalan Filipina yang boleh diakses tentera AS, ketika negara sekutu itu terus berusaha untuk menentang peningkatan ketenteraan China di rantau ini.
Vietnam, Malaysia dan Brunei juga mempunyai tuntutan bertindih ke atas bahagian tertentu di Laut China Selatan. - AFP