BORACAY (Filipina): Perlindungan data, antipenipuan dan keselamatan siber antara isu yang diberikan keutamaan pada pertemuan pegawai-pegawai kanan negara ASEAN di pulau ini, ke arah usaha memperkukuh landskap digital di rantau ini pascaCOVID-19.
Setiausaha Bahagian Antarabangsa, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Mano Verabathran, berkata peningkatan kerjasama keselamatan siber dan langkah-langkah antipenipuan penting bagi melindungi keselamatan ekonomi dan inisiatif pendigitalan ASEAN, terutama dari serangan dan ancaman lebih canggih.
"Thailand membangkitkan mengenai isu antipenipuan sebagai isu yang sangat penting dan mendesak, yang perlu dibincangkan dan disuarakan dalam mesyuarat menteri.
"Dalam ekonomi digital kita mempunyai semua data. Kita perlu melindungi data tersebut dan menetapkan semua langkah keselamatan bagi menjalankan perniagaan merentas sempadan dan berkembang," katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM) di sini.
Delegasi Malaysia ke ADGSOM diketuai Ketua Setiausaha KKD Datuk Seri Mohammad Mentek. Mesyuarat itu turut merangkumi mesyuarat bilateral dan sesi bersama rakan dialog.
Mano berkata dalam mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama semalam, anggota ASEAN bersetuju bahawa semua menteri akan memberi kenyataan khusus mengenai isu tersebut, di samping deklarasi dan kenyataan bersama yang telah dirangka untuk mengetengahkan kepentingan hal-hal berkaitan keselamatan siber dan perlindungan data.
ASEAN, secara bersama, perlu memastikan tiada kelemahan dalam usaha melindungi ruang siber untuk ekonomi digital serantau memandangkan negara anggota sedang giat menjalankan usaha untuk menjadi blok ekonomi digital yang kompetitif, katanya.
Bagi Malaysia, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telahpun menekankan bahawa keselamatan data dan siber akan menjadi fokus utama kementerian tahun ini.
Dalam pada itu, Malaysia dan Singapura memulakan usaha itu dengan memperbaharui kerjasama dalam perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 30 Jan lepas. Langkah seterusnya ialah menandatangani MoU berkaitan hal itu dengan negara-negara ASEAN lain.
Fahmi dijadualkan tiba di sini, esok, bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN).
Terdapat 400 juta pengguna Internet di rantau ini dan dengan 622 juta populasi serta kemajuan pesat ekonomi, Asia Tenggara dijangka menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030 dengan ekonomi digital diramal menjadi pemacu utama pertumbuhan
Sementara itu, ADGSOM turut meneliti perkembangan pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan untuk 2022 ASEAN Project Cycle, terutama status dan hasilnya.
Antara projek tersebut adalah panduan urus tadbir kecerdasan buatan dan etika (Singapura), pembangunan kapasiti untuk merapatkan jurang digital (Indonesia), inisiatif digital hijau (Filipina), amalan terbaik perundangan (Malaysia) dan mewujudkan standard bagi pertukaran data dan maklumat berkaitan bencana di rantau ASEAN (Laos).
Filipina menjadi tuan rumah bagi ADGMIN, ADGSOM Ketiga dan mesyuarat berkaitan dengan rakan dialog dari 6-10 Feb ini. Ia merupakan mesyuarat secara fizikal pertama bagi pemimpin ADGMIN dan ADGSOM sejak pandemik COVID-19. – BERNAMA