Sabtu, 4 Februari 2023 | 2:41pm
 Sesi Pemukiman Menteri Luas ASEAN di Jakarta hari ini. - Foto EPA
Sesi Pemukiman Menteri Luas ASEAN di Jakarta hari ini. - Foto EPA

Pengerusi ASEAN perhebat bincang kod Laut China Selatan

JAKARTA: Indonesia merancang memperhebatkan rundingan dengan China dan negara Asia Tenggara lain dalam usaha memuktamadkan tata laku (COC) bagi pertikaian ke atas Laut China Selatan di tengah-tengah ketegangan semakin memuncak di laluan air strategik itu.

Menteri Luar, Retno Marsudi berkata demikian pada majlis penutupan pertemuan antara menteri luar negara ASEAN, blok serantau 10 anggota yang dipengerusikan Indonesia tahun ini.

"Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik adalah penting kepada perbincangan.

"Kami juga membincangkan mengenai COC, komitmen ahli untuk menyelesaikan rundingan COC secepat mungkin," katanya.

Rundingan COC - rangka kerja dicadangkan untuk membantu menangani pertikaian wilayah dan maritim di laluan air terhenti selama bertahun-tahun kerana beberapa negara anggota mengutamakan hubungan dua hala dengan China berbanding konsensus serantau.

Indonesia bersedia menjadi tuan rumah pusingan rundingan COC tahun ini, yang pertama berlangsung pada Mac, kata menteri luar negara itu.

China menuntut bidang kuasa ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan berdasarkan 'nine-dash line' berbentuk U, sempadan yang didapati tidak mempunyai asas undang-undang oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap di Hague pada 2016.

Awal minggu ini, Filipina memberikan Amerika Syarikat akses lebih luas ke atas pangkalan tenteranya, sebahagiannya disebabkan tuntutan meluas Beijing di kawasan maritim yang kaya dengan sumber.

Anggota ASEAN Filipina, Vietnam, Malaysia dan Brunei semuanya mempunyai tuntutan bertindih dengan China terhadap laluan air strategik itu.

Indonesia bukan penuntut rasmi tetapi menghadapi penolakan dari China berhubung penerokaan rizab minyak dan gas di Laut Natuna Utara.

Bulan lalu negara itu menghantar kapal perang ke kawasan berkenaan untuk memantau kapal pengawal pantai China.

Menurut Pengarah Kerjasama ASEAN di Kementerian Luar Indonesia, Sidharto R Suryodipuro, pendekatan baharu akan diterokai oleh semua negara anggota ASEAN dan rakan sejawat China untuk mencapai kemajuan dalam COC.

"Apa yang penting ialah semua bersetuju bahawa ini harus menjadi pandangan yang boleh dilaksanakan dan mengikut undang-undang antarabangsa," katanya.

Dalam isu berasingan, anggota ASEAN mengakhiri rundingan dengan hanya mengulangi sokongan terhadap rancangan damai lima perkara blok itu ke atas Myanmar yang merangkumi pemberhentian konflik di negara itu dan permulaan dialog. - REUTERS

Berita Harian X