JAKARTA: Sesi Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di Indonesia hari ini, dijangka membincangkan keadaan di Myanmar biarpun agendanya tertumpu kepada keselamatan makanan dan tenaga serta kerjasama kewangan dan kesihatan.
Myanmar antara 10 anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, namun pemukiman tahunan yang diadakan di Jakarta itu tidak dihadiri Menteri Luarnya, Wunna Maung Lwin.
Ia didorong oleh faktor kurang kerjasama Myanmar melaksanakan perjanjian lima langkah dimeterai antara pemimpin ASEAN dan Ketua Tentera Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, pada 2021.
Menerusi perjanjian itu, pemimpin tentera Myanmar berjanji membenarkan utusan khas ASEAN bertemu pemimpin diguling dan dipenjarakan, Aung San Suu Kyi serta beberapa lain untuk mengadakan dialog, bertujuan meredakan krisis terbabit.
Aung Hlaing juga tidak dijemput menghadiri mesyuarat pemimpin ASEAN di Phnom Penh, Kemboja, November lalu, selepas Myanmar enggan membenarkan utusan ASEAN bertemu dengannya.
Penganalisis berkata, rampasan kuasa tentera di Myanmar dilihat membayangi mesyuarat menteri luar, walaupun Indonesia yang mempengerusikan ASEAN tahun ini cuba meredakan kebimbangan mengenai isu itu dan tidak akan menjadikan blok itu sebagai 'tebusan'.
Presiden Indonesia, Joko Widodo, ketika merasmikan pembukaan mesyuarat pemimpin ASEAN bulan lalu, berkata lewat ASEAN akan terus menyumbang kepada Indo-Pasifik sebagai rantau aman dan stabil serta mengekalkan pertumbuhan ekonomi serantau.
"Krisis ekonomi, tenaga, makanan serta perangan saraf akan ditangani tahun ini. ASEAN akan kekal penting dan relevan bagi rakyat di rantau ini dan sekitarnya kerana ASEAN adalah pusat pertumbuhan," katanya.
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, berkata republik itu akan memastikan tumpuan diberi kepada pembangunan blok serantau sebagai komuniti dan untuk memanfaatkan pertumbuhan ekonomi ASEAN yang sentiasa mencatat pertumbuhan lebih kukuh berbanding ekonomi global.
"Isu Myanmar tidak akan dibenarkan menjadi tebusan bagi proses pengukuhan pembangunan komuniti ASEAN," kata Marsudi ketika menggariskan dasar luar Indonesia 2023, bulan lalu. - AP