WASHINGTON: Tentera Myanmar yang didakwa melakukan pembersihan etnik umat Islam Rohingya di negara itu dijemput untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat tentera serantau yang dipengerusikan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Thailand.
Angkatan tentera Myanmar melancarkan operasi ketenteraan pada 2017, yang menghalau sekurang-kurangnya 730,000 warga Rohingya, memaksa mereka lari ke negara jiran, Bangladesh.
Tahun lalu, Presiden AS, Joe Biden, secara rasmi menyatakan bahawa keganasan yang dilakukan terhadap kaum minoriti Rohingya oleh tentera Myanmar itu sama dengan pembunuhan besar-besaran dan satu jenayah terhadap kemanusiaan.
Tentera Myanmar sebaliknya menafikan tindakan itu sebagai penghapusan kaum dan memberi alasan mereka hanya menyerang balas pemberontak Rohingya yang melakukan serangan.
Lebih sejuta etnik Rohingya kini dinafikan hak kewarganegaraan dan hak lain serta hanya tinggal di dalam khemah yang ditempatkan di kem pelarian terbesar di dunia, di selatan Bangladesh.
Jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Marty Meiners, yang dipetik akhbar Myanmar Now, berkata kehadiran dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) itu ditentukan oleh negara anggota ASEAN.
"AS terus menyertai komuniti antarabangsa bagi membantah rampasan kuasa, menggesa tentera Myanmar menamatkan keganasan, membebaskan semua yang ditahan secara tidak adil serta memulihkan demokrasi, untuk dimasukkan dalam forum ADMM+," katanya.
Ini bukan kali pertama AS menjemput Myanmar menghadiri forum itu, sebaliknya Myanmar turut dijemput pada tahun lalu.
Pada 2017, Pentagon menjemput Myanmar sebagai pemerhati dalam latihan multinasional utama ketenteraan yang diketuai AS dan Thailand - REUTERS