JAKARTA: Indonesia berharap Malaysia dapat segera mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang diumumkan pada 10 Januari lalu.
Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah, berkata SOP mengenai RTK 2.0 akan menjadi rujukan kepada pendatang asing tanpa izin yang sudah lama bekerja di Malaysia.
"Kerajaan Indonesia juga masih memerlukan maklumat yang lebih terperinci dan jelas daripada Kerajaan Malaysia untuk pelaksanaan program itu," katanya.
Ida Fauziah berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di pejabatnya di sini.
Kedua-dua menteri berbincang mengenai perkembangan serta mencari penyelesaian bagi masalah yang berkaitan dengan perlindungan tenaga kerja Indonesia (TKI) di Malaysia, terutama perkhidmatan domestik.
Perbincangan turut menjurus kepada hal terkait penjajaran dasar baharu Malaysia berhubung Pelan Penggajian Pekerja Asing, kata Saifuddin dalam Facebook rasminya.
Beliau berkata Indonesia adalah negara sumber kedua terbesar yang menyumbangkan tenaga kerja ke Malaysia selepas Bangladesh dan berperanan membantu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan Malaysia.
"Saya menyatakan hasrat untuk memperbaharui komitmen Malaysia berhubung isu kebajikan dan keselamatan pekerja asing dari Indonesia yang berkhidmat di Malaysia sentiasa dilindungi dan tiada tolak ansur terhadap sebarang salah laku majikan," katanya.
Pertemuan kedua-dua menteri menyusuli pertemuan antara Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, awal bulan ini.
Dalam lawatan kerja singkat ke Indonesia, Saifuddin bertemu dengan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia Prof Dr. Yasonna H Laoly serta Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian. - BERNAMA