MANILA: Dua orang maut dalam kejadian sebuah pesawat Tentera Udara Filipina terhempas di kawasan ladang di barat laut Manila hari ini, sementara misi pencarian diteruskan bagi pesawat persendirian yang membawa enam lagi mangsa yang hilang di utara pergunungan daerah berkenaan, semalam.
Jurucakap Tentera Udara Kolonel Maria Consuelo Castillo, berkata pesawat SF-260 berkenaan ketika itu dalam penerbangan latihan dari lapangan terbang Sangley di wilayah Cavite di Selatan Manila sebelum terhempas ke dalam sawah di wilayah Bataan.
Katanya, pihak tentera udara menghentikan operasi pesawat SF-260 lain yang digunakan untuk tujuan latihan dalam operasi menentang pemberontak dan siasatan akan dilakukan bagi menentukan punca nahas.
Sementara itu, Penyiasat Polis Edgardo Delos Santos memberitahu The Associated Press melalui panggilan telefon dari lokasi nahas, memaklumkan bahawa mayat dua lelaki itu ditarik keluar dari serpihan pesawat yang terhempas.
Katanya, saksi di tempat kejadian melihat pesawat berkenaan turun dengan laju seperti hilang kawalan sebelum terhempas di kawasan sawah.
Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina, pesawat Cessna satu enjin yang membawa enam orang terputus hubungan dengan kakitangan menara lapangan terbang kira-kira empat minit selepas berlepas.
"Penerbangan berkenaan sepatutnya menjadi penerbangan selama 30 minit sahaja semalam di utara wilayah Isabela.
"Kami masih tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa yang berada dalam pesawat berkenaan dan operasi mencari dan menyelamat berskala penuh diteruskan hari ini," katanya.
Tentera Udara Filipina memaklumkan helikopternya tidak dapat berlepas untuk menyertai pencarian di Isabela kerana keadaan cuaca buruk.
Tentera Filipina dikatakan salah satu pasukan tentera yang paling kekurangan dana di Asia telah bergelut selama bertahun-tahun untuk memodenkan tentera udara dan tentera lautnya kerana masalah pembiayaan ketika memerangi pemberontakan Islam dan komunis berpuluh tahun dan mempertahankan perairan wilayah Filipina serta tuntutan di Laut China Selatan yang dipertikaikan. - AP