Selasa, 24 Januari 2023 | 8:22pm
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Fortify Rights, Matthew Smith, memegang salinan aduan jenayah 16 warga Myanmar dan aktivis terhadap kekejaman junta tentera. - Foto AP
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Fortify Rights, Matthew Smith, memegang salinan aduan jenayah 16 warga Myanmar dan aktivis terhadap kekejaman junta tentera. - Foto AP

Aktivis Myanmar, 16 mangsa kekejaman junta fail aduan jenayah di Jerman

BANGKOK: Aktivis dan 16 mangsa penderaan memfailkan aduan jenayah di Jerman menuduh jeneral tertinggi tentera Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai etnik Islam Rohingya dan kekejaman lain sejak rampasan kuasa tentera dua tahun lalu.

Tindakan itu adalah yang terbaru di bawah undang-undang antarabangsa untuk memaksa tentera Myanmar bertanggungjawab atas dakwaan kekejaman terhadap minoriti Rohingya dan penyokong demokrasi serta orang awam yang menentang rampasan kuasa itu.

Kumpulan hak asasi manusia yang menyokong aduan itu, Fortify Rights, berkata Jerman dipilih kerana pengiktirafannya terhadap prinsip 'bidang kuasa sejagat' dan mahkamah negara boleh membicarakan individu dituduh melakukan jenayah antarabangsa yang serius.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Fortify Rights, Matthew Smith, berkata aduan itu memberikan bukti baharu yang menunjukkan tentera Myanmar secara sistematik melakukan pelbagai jenayah.

Gambar fail penunjuk perasaan lari selepas polis melepaskan tembakan amaran dan meriam air bagi menyuraikan mereka ketika protes di Mandalay, Myanmar. - Foto AP
Gambar fail penunjuk perasaan lari selepas polis melepaskan tembakan amaran dan meriam air bagi menyuraikan mereka ketika protes di Mandalay, Myanmar. - Foto AP

"Mereka membunuh, merogol, menyeksa, memenjarakan, melenyapkan, menganiaya dan melakukan perbuatan lain yang menyamai pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan dan jenayah perang.

"16 pengadu individu dalam tindakan mahkamah oleh Myanmar ini termasuk etnik Rohingya dan mereka yang terselamat atau menyaksikan jenayah di Myanmar sejak rampasan kuasa," kata Fortify Rights.

Justeru, Fortify Rights berharap pihak berkuasa Jerman akan menerima aduan itu dan melancarkan siasatan.

Anggota keselamatan Myanmar berjalan melintasi rumah milik etnik Islam Rohingya yang musnah dibakar di kampung Ka Nyin Tan di Maungdaw, utara negeri Rakhine, Myanmar. - Foto AP
Anggota keselamatan Myanmar berjalan melintasi rumah milik etnik Islam Rohingya yang musnah dibakar di kampung Ka Nyin Tan di Maungdaw, utara negeri Rakhine, Myanmar. - Foto AP

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan tentera Myanmar enggan menjawab mengenai aduan berkenaan, yang mana sebelum ini tentera menafikan pencabulan hak berkenaan.

Kedutaan Jerman di Myanmar juga gagal dihubungi bagi menjawab mengenai perkara itu.

Sebelum ini, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sudah mendengar dakwaan bahawa Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam kes yang dibawa oleh Gambia selepas ratusan ribu Rohingya melarikan diri ke Bangladesh daripada serangan tentera Myanmar yang dilancarkan pada Ogos 2017.

Tahun lalu, satu lagi kumpulan masyarakat sivil, Projek Akauntabiliti Myanmar, berkata pihak berkuasa Turkiye juga memulakan siasatan awal selepas ia memfailkan kes terhadap anggota junta Myanmar berhubung dakwaan kekejaman sejak rampasan kuasa. - REUTERS

Berita Harian X