PRAYA, LOMBOK TENGAH: Operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Lombo di Nusa Tenggara Barat tidak terjejas susulan letusan Gunung Semeru di Lumajang, Java Timur semalam.
Menurut Arif Haryanto, pegawai pengendali lapangan terbang, PT Angkasa Pura I, sehingga kini kejadian itu tidak memberi kesan kepada operasi lapangan terbang berkenaan.
Beliau berkata penerbangan dari Lombok ke Surabaya serta penerbangan domestik dan antarabangsa lain masih berjalan mengikut jadual biasa.
"Tiada kelewatan penerbangan, dan semuanya normal," katanya yang dipetik daripada portal antaranews.com.
Beliau berkata jumlah penumpang di Lapangan Terbang Lombok pada minggu kedua Januari 2023 adalah purata 5,300 sehari.
Gunung Semeru dengan ketinggian 3,676 meter dari aras laut meletuskan asap gunung berapi mencecah 500 hingga 1,000 meter semalam.
"Berdasarkan laporan diterima, letusan berlaku empat kali dengan asap mencecah 500-1,000 meter. Asap kelabu terbang ke arah utara dan barat daya," kata Ketua Badan Pencegahan dan Kesiapsiagaan Agensi Mitigasi Bencana (BPBD) Lumajang, Wawan Hadi Siswoyo.
Gunung itu meluncurkan lahar sejauh 800 meter, menghala ke Besuk Kobokan dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari waktu tempatan semalam, berdasarkan laporan pegawai Pos Pemerhatian Gunung Berapi Semeru di Gunung Sawur.
Menurut laporan itu, adalah lumrah Gunung Semeru meletus setiap hari kerana statusnya kekal pada Tahap III atau Amaran.
"Setakat ini, tiada kesan berlaku berikutan letusan Semeru yang mengeluarkan asap mencecah 1,000 meter, namun pasukan bertindak pantas terus memantau perkembangan di lapangan," kata pegawai itu.
Sementara itu, Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi (PVMBG) menggesa orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan tenggara sepanjang Besuk Kobokan, kira-kira 13 kilometer dari kawah Semeru. - AGENSI