BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand berjaya menemukan aset kepunyaan dua anak ketua junta Myanmar ketika membuat serbuan di pangsapuri Bangkok milik jutawan negara itu yang didakwa mengedar dadah dan pengubahan wang haram, menurut rekod rasmi dan maklumat daripada dua orang yang mengetahui kes itu.
Surat hak milik dan buku bank milik anak perempuan dan anak lelaki Min Aung Hlaing ditemui di rumah Tun Min Latt, 53, ketika dia ditahan di Bangkok pada September lalu bersama tiga warga Thailand atas tuduhan bersubahat mengedar dadah narkotik dan pengubahan wang haram.
Tun Min Latt, yang mempunyai kepentingan dalam hotel, tenaga dan perlombongan, adalah rakan rapat Aung Hlaing, yang merampas kuasa daripada kerajaan yang dipilih secara demokrasi pada Februari 2021, menurut maklumat yang diperoleh Rauters tahun lalu daripada tiga sumber.
Menurut sumber itu, beliau dikatakan mendapatkan bekalan untuk tentera.
Susulan itu, terdapat gambar yang menunjukkan mereka bersama di pameran senjata pada 2019.
Peguam yang mewakili Min Latt yang kini berada dalam tahanan praperbicaraan; bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen balas.
Dua anak Aung Hlaing tidak menghadapi tindakan undang-undang ke atas aset itu, menurut dua orang yang mengetahui kes itu.
Tambah dua sumber itu lagi, pihak berkuasa Thailand tidak menganggap mereka relevan dengan siasatan terhadap Min Latt.
Anak lelaki Aung Hlaing, Aung Pyae Sone dan anak perempuannya, Khin Thiri Thet Mon, yang bersama bapanya itu dihalang memasuki Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, juga tidak mengendahkan permintaan Reuters untuk menjawab komen.
AS berkata mereka mempunyai perniagaan yang 'secara langsung mendapat manfaat daripada kedudukan bapa mereka dan pengaruh jahat'.
Bapa mereka juga tidak dapat dihubungi dan mesej kepada junta tentera Myanmar tidak berjawab.
Penemuan dokumen itu menunjukkan hubungan rapat antara Min Latt dan keluarga ketua junta Myanmar.
Jurucakap kumpulan aktivis, Justice for Myanmar, berkata penemuan itu juga menunjukkan keluarga Aung Hlaing menyembunyikan aset di Thailand dan pihak itu menggesa Thailand mengambil 'tindakan segera bagi menghalang negaranya menjadi tempat selamat bagi penjenayah perang Myanmar dengan menyekat junta Myanmar yang tidak sah serta ahlinya daripada mengakses bank dan harta Thailand, selain membekukan aset yang dicuri milik rakyat Myanmar'.
Jurucakap kerajaan Bangkok, Anucha Burapachaisri menolak untuk memberikan komen dan merujuk soalan daripada Reuters kepada agensi penguatkuasaan undang-undang, yang juga tidak menjawab permintaan untuk komen.
Ketika serbuan di apartmen Min Latt di kondominium Belle Grand Rama 9 di Bangkok September lalu, polis berkata, mereka merampas aset bernilai AS$8.96 juta (RM 39.16 juta) termasuk kereta mewah, jam tangan dan beg berjenama mewah, bersama wang tunai berjumlah AS$239,091 (RM1.04 juta).
Menurut rekod rampasan aset rasmi bertarikh 17 September lalu, mereka turut mendedahkan surat hak milik dan kontrak pembelian sejak 2017, empat bilik tidur di kondominium yang sama atas nama Aung Pyae Sone, bersama dua buku bank Bank Komersial Siam (SCB) untuk akaun atas nama Khin Thiri Thet Mon.
Dokumen terbabit diperolehi oleh Justice for Myanmar dan disahkan secara bebas oleh Reuters dengan dua sumber yang mengetahui kes itu.
Sejak rampasan kuasa, tentera Aung Hlaing melancarkan tindakan keras berdarah terhadap mereka yang mempunyai perbezaan pendapat, membunuh beribu-ribu penentang, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menuduh tentera Myanmar melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Bagaimanapun, tentera itu mengatakan, mereka melancarkan perang terhadap 'pengganas'.
Thailand, yang berkongsi sempadan darat lebih 2,000 kilometer dengan Myanmar, sebelum ini mengelak kritikan terang-terangan terhadap junta dan bulan lalu menjemput menteri junta untuk menghadiri sidang kemuncak serantau, yang diboikot oleh beberapa negara kerana kehadiran mereka.
Kedua-dua sumber yang mengetahui kes itu, yang enggan nama mereka didedahkan, mengesahkan aset milik anak Aung Hlaing ditemui ketika pihak berkuasa membuat serbuan.
Reuters juga mengesahkan akaun bank Khin Thiri Thet Mon sudah ditutup, tetapi tidak dapat menentukan siapa yang menutupnya atau tarikh yang tepat.
SCB dan kondominium Belle Grand Rama 9 tidak menjawab permintaan untuk komen.
Begitu juga Polis Thailand, Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) dan Pejabat Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLO) setakat ini juga tidak mengulas mengenai perkara itu. - REUTERS