Selasa, 10 Januari 2023 | 2:06pm
Pelarian warga Rohingya melakukan ujian COVID-19 di pusat perlindungan sementara di daerah Aceh di Ladong, Aceh Besar, Indonesia. Ketua Perhubungan Masyarakat Polis Aceh, Joko Krisdiyanto berkata sebuah bot dinaiki 185 pelarian Rohingya mendarat di pantai wilayah Aceh pada Ahad lalu. - Foto EPA
Pelarian warga Rohingya melakukan ujian COVID-19 di pusat perlindungan sementara di daerah Aceh di Ladong, Aceh Besar, Indonesia. Ketua Perhubungan Masyarakat Polis Aceh, Joko Krisdiyanto berkata sebuah bot dinaiki 185 pelarian Rohingya mendarat di pantai wilayah Aceh pada Ahad lalu. - Foto EPA

Myanmar penjara 112 warga Rohingya yang mahu ke Malaysia

YANGON: Pihak berkuasa Myanmar menjatuhkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun kepada 112 etnik Rohingya, termasuk puluhan kanak-kanak kerana cuba melakukan perjalanan ke Malaysia 'tanpa dokumen sah'.

Laporan oleh Global New Light of Myanmar, yang memetik polis tempatan, berkata kumpulan itu ditangkap bulan lalu di wilayah selatan Ayeyarwady dan dijatuhkan hukuman Jumaat lalu.

Menurut laporan akhbar itu, kanak-kanak itu dipindahkan ke 'sekolah latihan belia' berhampiran hab komersial Yangon kelmarin, tetapi tidak membuat ulasan lanjut.

Laporan itu turut merujuk kumpulan itu sebagai 'Bengalis', perkataan yang dianggap merendahkan untuk minoriti Islam, dinafikan kewarganegaraan di Myanmar negara bermajoriti Buddha dan sering memerlukan kebenaran untuk melakukan perjalanan.

Tindakan keras tentera di Myanmar pada 2017 menyebabkan ratusan ribu etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh dengan kisah mengerikan pembunuhan, rogol dan pembakaran.

Myanmar turut menghadapi tuduhan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan penghijrahan beramai-ramai itu.

Beribu-ribu Rohingya juga mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun untuk melakukan perjalanan berbahaya dari kem di Bangladesh dan Myanmar ke Malaysia serta Indonesia yang majoritinya beragama Islam.

Ahad lalu, sebuah bot kayu yang membawa hampir 200 pelarian Rohingya, dengan majoriti daripadanya terdiri wanita dan kanak-kanak mendarat di pantai barat Indonesia.

Menurut pihak berkuasa, ia adalah pendaratan kelima sejak November lalu.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), lebih 2,000 etnik Rohingya dipercayai mencuba perjalanan berisiko pada tahun lalu. - AFP

Berita Harian X