PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen memberi amaran kepada pihak pembangkang hari ini bahawa mereka akan berdepan tindakan undang-undang atau dipukul menggunakan kayu jika menuduh parti pimpinannya mencuri undi dalam pilihan raya negara yang bakal diadakan penghujung tahun ini.
Hun Sen yang juga salah seorang pemimpin paling lama berkhidmat di dunia dan bakal memasuki tahun ke-38 penguasaan dalam politik negara itu pada hujung minggu ini berikrar untuk bertanding semula apabila Kemboja mengadakan pilihan raya Julai depan.
Bercakap pada satu majlis di wilayah Kampong Cham, beliau berkata, pencabar politiknya perlu memilih antara mahkamah dan keganasan jika mereka mengkritik Parti Rakyat Kemboja (CPP) yang memerintah.
"Hanya ada dua pilihan, pertama menggunakan tindakan undang-undang, satu lagi menggunakan kayu... yang mana anda mahu?" katanya.
"Sama ada anda menghadapi tindakan undang-undang di mahkamah atau saya mengumpulkan penyokong CPP untuk mengadakan demonstrasi dan membelasah semua," katanya.
Beliau turut mengarahkan peguam untuk memantau ucapan pihak pembangkang.
"Kami tidak akan membiarkan anda menuduh kami sebagai pencuri sepanjang masa. CPP tidak boleh terima dipanggil pencuri yang mencuri undi. Kami tentunya akan menyaman sesiapa yang berkata demikian," katanya.
Bagaimanapun, beliau dalam kenyataan lain selepas itu mendakwa tidak menggalakkan tindakan keganasan.
Sebilangan besar ahli politik pembangkang, termasuk pencabarnya sejak sekian lama, Sam Rainsy, telah disabitkan dengan jenayah tanpa kehadiran dan kekal dalam buangan.
Perdana Menteri turut berjanji untuk menghancurkan Rainsy yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Oktober dan memberi tekanan kepada sekutu politiknya. - AFP