JAKARTA: Sekumpulan rakyat Indonesia memfailkan rayuan terhadap penggunaan peraturan darurat bagi luluskan Undang-Undang Penciptaan Kerja, yang disifatkan sebagai perbuatan melanggar Perlembagaan negara.
Kumpulan merangkumi peguam, aktivis dan pelajar itu mengemukakan rayuan berkenaan kepada Mahkamah Perlembagaan semalam, menurut tarikh yang difailkan.
Tahun lalu, Mahkamah Perlembagaan memutuskan kelulusan Undang-undang Penciptaan Pekerjaan yang dibanggakan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) itu adalah salah kerana perundingan awam mengenainya amat terhad.
Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan penggubal undang-undang mengulangi semula proses untuk meluluskannya dalam tempoh dua tahun, termasuk mengadakan perundingan awam bagi mendapatkan maklum balas semua pihak berkepentingan.
Namun, pada 30 Disember lalu, Jokowi menandatangani peraturan darurat tergempar yang juga dikenali sebagai Perrpu, bagi meluluskan akta kontroversi itu, walaupun ia sudah diputuskan oleh mahkamah sebagai salah.
Kerajaan menggunakan alasan unjuran ketidaktentuan ekonomi global tahun depan memberikannya asas undang-undang untuk bertindak sedemikian.
Bagaimanapun, beberapa pakar undang-undang mengkritik peraturan itu sebagai percubaan kerajaan untuk mengelak isu itu dibahaskan di Parlimen.
Diluluskan pada 2020, pindaan yang dipanggil undang-undang 'omnibus' itu menyemak semula lebih 70 undang-undang berkaitan dan mendapat pujian pelabur asing kerana memperkemas peraturan perniagaan ekonomi terbesar Asia Tenggara terkenal dengan kerenah birokrasi yang menyusahkan.
Sehubungan itu, kumpulan masyarakat sivil mengkritik tindakan Jokowi dan menggesa kerajaan bersikap lebih telus berhubung pelaksanaannya.
Jokowi pula berhujah ekonomi Indonesia akan bergantung kepada pelaburan serta eksport pada 2023 dan kepastian undang-undang menerusi Undang-Undang Penciptaan Pekerjaan adalah penting untuk memastikan persepsi baik pelabur berkekalan.
Bagaimanapun, ia mencetuskan bantahan di seluruh negara dalam kalangan pekerja, pelajar dan kumpulan pencinta alam, yang mengatakan undang-undang itu menghakis perlindungan terhadap hak buruh, perlindungan serta pemuliharaan alam sekitar.
Kesatuan mewakili kumpulan berkenaan kini bersiap sedia ini untuk mengadakan protes besar-besaran, bertujuan cuba menekan pihak berkuasa memenuhi tuntutan mereka.
Antara kontroversi terbesar dalam Undang-Undang Penciptaan Kerja adalah pelonggaran peraturan mengenai gaji pemberhentian kerja, perubahan formula gaji minimum, buruh kontrak dan sumber pekerja luaran serta ketetapan bahawa kajian kesan alam sekitar diperlukan hanya untuk pelaburan berisiko tinggi.
Persatuan Majikan Indonesia dan beberapa kesatuan sekerja bagaimanapun enggan mengulas sehingga mereka melihat kandungan peraturan itu, yang masih belum didedahkan kepada umum. - AGENSI