Sabtu, 31 Disember 2022 | 8:16pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Singapura pantau rapi perkembangan COVID-19

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) sedang memantau dengan teliti perkembangan COVID-19 di seluruh dunia susulan keputusan China melonggarkan kawalan sempadan pada 8 Januari ini.

Sehubungan itu, kerajaan Singapura juga akur dengan kebimbangan orang ramai mengenai kemungkinan kadar jangkitan COVID-19 akan kembali melonjak.

"Terdapat sedikit keprihatinan awam mengenai tahap jangkitan yang tinggi di China dan pengumuman terbarunya untuk melonggarkan langkah sempadan mereka pada 8 Januari ini.

"Pada peringkat pandemik ini, faktor terpenting adalah tahap imuniti penduduk kita dan dalam hal ini, faktor epidemiologi setempat harus terkawal selepas gelombang XBB," kata jurucakap MOH dalam kenyataan media malam tadi.

Tambahnya lagi, MOH kekal siap siaga 'untuk melaksanakan semula langkah kesihatan kawalan sempadan untuk negara terpilih jika perlu, disebabkan perkembangan terbaru itu.

MOH juga memperkenalkan vaksin paediatrik dan bivalen bagi meningkatkan daya tahan masyarakat yang sememangnya mencapai imuniti hibrid yang tinggi.

"Kami juga mempertingkatkan keupayaan penjagaan kesihatan kita dengan Kemudahan Rawatan COVID-19 yang baru dan meluaskan Kemudahan Penjagaan Peralihan Rawatan.

"Sedang 2022 sampai ke penghujungnya, kita berada dalam kedudukan lebih utuh untuk hidup dengan COVID-19, menjadi lebih berdaya tahan dengan setiap gelombang coronavirus," katanya.

Dalam hal ini, keadaan epidemiologi tempatan dilaporkan stabil selepas Gelombang XBB, dengan purata kes COVID-19 tempatan kekal pada 729 kes, bilangan kemasukan ke hospital berkaitan COVID-19 kekal bawah 100, dan pesakit berkaitan COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal dalam satu angka.

Menurut MOH, terdapat dua kebimbangan khusus - pertama, kemungkinan kemunculan varian baru dan yang lebih berbahaya, sementara kebimbangan kedua ialah pengembara tidak seharusnya menambah beban ketara ke atas hospital tempatan.

Pada masa ini, lapangan terbang menerima antara 700 dan 1,000 ketibaan dari China setiap hari, atau kira-kira satu hingga 1.5 peratus daripada jumlah ketibaan harian melalui udara.

Majoriti daripada mereka adalah Penduduk Tetap dan pemegang pas jangka panjang yang kembali ke Singapura.

Menurut MOH, mereka mengesan antara 40 dan 80 kes COVID-19 bergejala ringan dalam kalangan pengembara ini, kecuali seorang warga Singapura yang pulang dan jatuh sakit teruk selepas perjalanan ke China baru-baru ini.

Walaupun banyak negara sebelum ini menarik balik sepenuhnya sekatan berkaitan langkah kesihatan awam, Singapura tidak berbuat demikian dan terus mengekalkan beberapa langkah.

Pengembara yang belum menerima vaksin sepenuhnya dan ingin memasuki Singapura memerlukan ujian pra-berlepas (PDT) dua hari sebelum berlepas.

Pelawat Jangka Pendek (STV) yang tidak divaksin sepenuhnya juga dikehendaki mendapatkan insurans perjalanan dengan perlindungan minimum sebanyak SGD$30,000 untuk perbelanjaan perubatan berkaitan COVID-19.

Semua pengembara udara dan laut perlu mengemukakan pengisytiharan kesihatan semasa ketibaan.

Langkah ini mengurangkan risiko kes import sakit teruk, yang boleh membebankan kapasiti penjagaan kesihatan di sini.

MOH berkata, mereka akan terus mengekalkan keperluan vaksinasi yang lazim ini dan langkah saringan sempadan untuk pengembara yang tidak diberi vaksin sepenuhnya. - AGENSI

Berita Harian X