MANILA: Filipina dan China akan melaksanakan komunikasi secara langsung antara kementerian luar masing-masing bagi mengelakkan berlakunya sebarang salah faham dan kesilapan berhubung isu kontroversi perairan di Laut China Selatan.
Penolong Setiausaha Filipina bagi hal ehwal Asia dan Pasifik, Neal Imperial, yang mengesahkan perkara itu berkata, perjanjian terbabit akan ditandatangani minggu depan ketika kunjungan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos ke Beijing.
Katanya, melalui kunjungan itu, Marcos dijadual bertemu dengan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping.
Beliau berkata, kedua-dua negara akhirnya bersetuju bagi menandatangani perjanjian berkenaan.
"Ia adalah bagi mengelakkan salah faham dan sebarang kesilapan membabitkan isu di Laut Filipina Barat," katanya.
Filipina merujuk kepada perairan di barat negara itu sebagai Laut Filipina Barat.
Imperial berkata, melalui perjanjian itu, sebarang prosedur antara kedua-dua negara akan dibuat melalui saluran rasmi apabila timbulnya pertikaian.
"Sebelum ini, terpaksa menunggu lama (bagi kenyataan rasmi).
"Kenyataan rasmi itu mungkin boleh datang dari Angkatan Tentera Filipina (AFP) atau jurucakap rasmi lain," katanya.
Imperial berkata, Marcos bertekad untuk menegakkan kedaulatan negara semasa pertemuannya dengan Xi dan pemimpin tertinggi lain.
"Presiden mahukan keadaan aman dan stabil di Laut Filipina Barat," katanya.
Sebelum ini, Marcos menegaskan, beliau tidak akan membiarkan China merosakkan hak maritim Filipina.
Tindakan Marcos itu dilihat berbeza dengan bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, yang enggan mengkritik kuasa besar berkenaan.
Minggu lalu, Filipina mengarahkan tenteranya meningkatkan keberadaan mereka di perairan yang kontroversi selepas laporan bahawa China mula menuntut semula beberapa kawasan tanah yang tidak diduduki di sekitar Kepulauan Spratly.
China dilihat mengukuhkan kedudukannya di Laut China Selatan dengan memisahkan ribuan hektar terumbu untuk membuka penempatan baharu membabitkan pulau buatan di kepulauan Spratly. - AFP