Rabu, 28 Disember 2022 | 3:55pm
Mangsa banjir meninjau kerosakan akibat banjir dan hujan lebat yang melanda bandar Oroquieta, Misamis Occidental. - Foto AFP
Mangsa banjir meninjau kerosakan akibat banjir dan hujan lebat yang melanda bandar Oroquieta, Misamis Occidental. - Foto AFP

25 maut akibat banjir, hujan lebat di Filipina

MANILA: Angka kematian akibat hujan lebat dan banjir yang melanda selatan Filipina pada hujung minggu sempena sambutan Hari Krismas terus meningkat kepada 25 orang, manakala 26 individu lagi masih hilang dan sembilan yang lain cedera.

Menurut Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan, hampir 400,000 orang terjejas, sementara lebih 81,000 penduduk masih berada di pusat perlindungan.

Beliau berkata, 16 daripada 25 kematian dilaporkan dekat bahagian selatan wilayah Mindanao Utara, manakala 12 daripada 26 individu yang hilang dari sebelah timur wilayah Bicol.

Menurut biro cuaca negeri, Pusat Perkhidmatan Pentadbiran Atmosfera Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA), garis ricih iaitu titik pertemuan udara panas dan sejuk mencetuskan hujan di bahagian timur, tengah dan selatan Filipina, sekali gus mengganggu sambutan Krismas di wilayah yang terjejas.

Kerosakan akibat banjir dan hujan lebat yang melanda bandar Oroquieta, Misamis Occidental. - Foto AFP
Kerosakan akibat banjir dan hujan lebat yang melanda bandar Oroquieta, Misamis Occidental. - Foto AFP

Beberapa penduduk di wilayah itu dilihat bergantung pada pelampung ketika penyelamat pengawal pantai menarik mereka merentasi banjir setinggi dada menggunakan tali.

Majlis pengurusan bencana berkata, 1,196 kediaman rosak akibat banjir, selain 123 jalan dan 12 jambatan turut dilaporkan terjejas.

Selain itu, beberapa kawasan masih berdepan gangguan bekalan elektrik atau air.

Walaupun kesan garisan ricih mulai lemah, kawasan baharu dengan tekanan rendah mungkin membawa hujan sederhana hingga lebat dalam tempoh 24 jam akan datang.

PAGASA turut meramalkan, banjir dan tanah runtuh berpotensi berlaku terutama di kawasan yang mencatatkan taburan hujan yang ketara sebelum ini.

Setiap tahun, kira-kira 20 taufan dan ribut membadai Filipina, ia adalah salah satu negara yang paling terdedah kepada bencana di dunia. - AP

Berita Harian X