Isnin, 26 Disember 2022 | 1:08pm
Anak perempuan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, Paetongtarn Shinawatra. - Foto AFP
Anak perempuan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, Paetongtarn Shinawatra. - Foto AFP

Keturunan Thaksin pilihan utama untuk kepimpinan Thailand

BANGKOK: Anak perempuan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, Paetongtarn Shinawatra, muncul sebagai pilihan utama pengundi untuk memimpin negara itu, menjelang pilihan raya umum (PRU) dijadualkan pada Mei tahun depan.

Menurut tinjauan pendapat, Paetongtarn, yang secara meluas dijangka menjadi calon perdana menteri parti pembangkang terbesar negara, Pheu Thai, mendapat sokongan 34 peratus daripada 2,000 responden berumur 18 tahun dan ke atas dalam tinjauan suku tahunan oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Negara (NIDA).

Penarafan kelulusan semasa beliau melonjak daripada 22 peratus dalam tinjauan suku tahunan sebelumnya yang dijalankan pada September lalu, apabila majoriti responden mengatakan tiada calon yang sesuai untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Menurut tinjauan pendapat seperti diperoleh NIDA, responden mengatakan, mereka menyukai dasar dan rekod prestasi Parti Pheu Thai, manakala ada yang menyokong idea pemimpin generasi baharu.

Parti Pheu Thai secara rasmi memulakan kempen pilihan rayanya bulan ini, berusaha untuk menamatkan hampir sedekad pemerintahan yang disokong tentera.

Ia berjanji untuk menaikkan gaji minimum sebanyak 70 peratus menjelang akhir tempoh empat tahun dan meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi kepada purata lima peratus setiap tahun jika ia diundi untuk mentadbir kerajaan.

Penyandang Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, mendapat sokongan 14.05 peratus responden, meningkat daripada 10 peratus berbanding tinjauan pendapat pada September, menurut tinjauan pendapat NIDA.

Pemimpin yang menjadi Perdana Menteri melalui rampasan kuasa itu memperlihatkan popularitinya terhakis sekurang-kurangnya empat suku berturut-turut ketika kerajaannya berusaha menyelamatkan ekonomi yang masih bergelora akibat pandemik COVID-19.

Sokongan untuk Ketua Parti Pembangkang, Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat, meningkat kepada 13.25 peratus daripada 11 peratus dalam tinjauan pendapat suku tahunan sebelumnya, kata NIDA.

Menurut NIDA lagi, peratusan responden yang mengatakan tiada calon perdana menteri yang sesuai turun kepada 8.25 peratus dalam tinjauan Disember, berbanding 24 peratus dalam tinjauan September lalu.

Parti Pheu Thai ialah pilihan utama responden dalam tinjauan itu, iaitu 42.95 peratus; Parti Move Forward menduduki tempat kedua dengan 16.6 peratus, manakala Palang Pracharath, parti terbesar dalam kerajaan gabungan Prayut, menduduki tempat ketujuh dengan empat peratus undi. - AGENSI

Berita Harian X