Jumaat, 23 Disember 2022 | 8:10am
Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang digulingkan junta tentera pada Februari tahun lalu. - Foto fail AP
Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang digulingkan junta tentera pada Februari tahun lalu. - Foto fail AP

Thailand anjur mesyuarat tidak rasmi bincang krisis politik Myanmar

BANGKOK: Tiga menteri Kabinet Myanmar hadir di mesyuarat serantau tidak rasmi di ibu negara Thailand, semalam untuk membincangkan usaha memulihkan keamanan di negara yang diperintah junta tentera.

"Perundingan tidak rasmi terbuka itu dilihat bermakna dengan mereka terbabit dalam perbincangan bebas dan proaktif," kata jurucakap Kementerian Luar Thailand, Kanchana Patarachoke.

Wakil Kemboja, Laos dan Vietnam turut menghadiri mesyuarat berkenaan.

Ketika ini, tiada petunjuk rundingan itu akan memperoleh sebarang kemajuan ke arah menyelesaikan krisis Myanmar atau memudahkan lebih banyak rundingan dengan jeneral tenteranya.

Kanchana berkata, mesyuarat tidak rasmi yang diadakan di Bangkok, semalam adalah di luar perbincangan dua hala Thai-Myanmar.

Beliau berkata ia tidak termasuk mana-mana wakil dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, tiga anggota ASEAN yang paling kritikal terhadap situasi ketenteraan Myanmar.

"Perundingan itu adalah mesyuarat bukan ASEAN tetapi bertujuan untuk melengkapkan usaha kolektif berterusan ASEAN untuk mencari penyelesaian politik secara aman bagi situasi di Myanmar," kata Kanchana dalam satu kenyataan.

Mereka yang hadir dari Myanmar termasuklah Menteri Luar, Wunna Maung Lwin; Menteri Pelaburan dan Hubungan Ekonomi Luar, Kan Zaw dan Menteri Kerjasama Antarabangsa, Ko Ko Hlaing.

Kerajaan tentera Myanmar kini dijauhi oleh banyak negara ekoran rampasan kuasa dan penindasan secara ganas namun negara jirannya, Thailand kekal menjalin hubungan baik dengan pemimpin jeneral dan mengelak daripada kritikan serius.

Pertemuan itu juga diadakan sehari selepas Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi menuntut keganasan di Myanmar dihentikan serta-merta dan menggesa pemerintah tenteranya memulihkan institusi demokrasi dan membebaskan semua banduan yang 'ditahan sewenang-wenangnya' termasuk pemimpin yang disingkir, Aung San Suu Kyi.

Tentera Myanmar merampas kuasa pada Februari tahun lalu dan turut membanteras protes yang meluas dengan pasukan keselamatan menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan aman yang menentang pemerintahan tentera.

Beberapa pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyifatkan keadaan semasa negara itu sebagai perang saudara.

Tindakan tentera itu mengakibatkan banyak negara memencilkan jeneral yang memerintah malah mengenakan sekatan politik dan ekonomi ke atas mereka.

ASEAN yang dianggotai Myanmar juga berusaha untuk mempromosikan pelan keamanan lima perkara dan ia dipersetujui pemerintah tentera Myanmar pada mulanya tetapi tidak berusaha untuk melaksanakannya.

ASEAN kemudiannya mengisytiharkan bahawa Myanmar tidak lagi dialu-alukan untuk menghantar anggota kerajaan tenteranya ke mesyuarat kumpulan serantau itu kerana kegagalannya untuk bekerjasama dengan rancangan itu.

Sementara itu, Kementerian Luar Myanmar dalam satu kenyataan berkata delegasinya 'bertukar pandangan dengan mesra mengenai perkara kerjasama Myanmar dengan ASEAN bagi pelaksanaan konsensus lima perkara ASEAN' dan perkara lain. - AP

Berita Harian X