Khamis, 22 Disember 2022 | 3:11pm
Foto fail AFP
Foto fail AFP

Utusan Khas ASEAN dijangka hadiri mesyuarat 'tidak rasmi' dengan Myanmar

BANGKOK: Seorang utusan khas ASEAN yang ditugaskan untuk menyelesaikan krisis Myanmar akan menghadiri mesyuarat tidak rasmi di Thailand.

Sumber dari kerajaan Thailand, berkata mesyuarat hari ini itu juga akan dihadiri Menteri Luar Junta, Wunna Maung Lwin.

Mesyuarat di Thailand itu diadakan sejurus selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai resolusi pertamanya membabitkan Myanmar yang menuntut "menamatkan segera semua bentuk keganasan."

Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) setakat ini mengetuai usaha diplomatik untuk menyelesaikan kemelut mencengkam Myanmar sejak tentera merampas kuasa tahun lalu

Bagaimanapun 'konsensus lima mata' yang dipersetujui dengan junta tentera pada April 2021, hanya menunjukkan sedikit kemajuan, sementara ASEAN terus bergelut untuk mencari cara bagi melaksanakannya.

Kementerian Luar Kemboja berkata, diplomat tertinggi dan utusan khasnya, Prak Sokhonn, akan mengambil bahagian dalam mesyuarat di Bangkok atas permintaan rakan sejawatannya dari Thailand, Don Pramudwinai.

"Pada rundingan tidak rasmi itu, peserta dijangka berbincang secara terus dan terbuka mengenai cara mempercepatkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ke atas Myanmar," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Ini adalah menjadi lawatan pertama Menteri Luar Myanmar selepas lawatannya ke China pada Mac lalu.

Kementerian Luar Thailand bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen.

Junta Myanmar juga tidak menjawab permintaan untuk mengulas sama ada Wunna Maung Lwin akan menghadiri mesyuarat itu.

Sementara itu, tidak ada tanda ahli lain dari 10 negara ASEAN akan hadir.

Sebanyak 15 negara anggota Majlis Keselamatan PBB tidak sehaluan selama beberapa dekad mengenai Myanmar, namun semalam, menggesa pembebasan bekas pemimpin Aung San Suu Kyi dan semua tahanan politik.

Seramai 12 ahli mengundi menyokong, sementara ahli tetap iaitu China, Russia, dan India, berkecuali. - AFP

Berita Harian X