LAMONGAN: Anggota militan yang disabitkan kesalahan membuat bahan letupan di Bali, Indonesia, mengakibatkan lebih 200 orang terbunuh 20 tahun lalu, meminta maaf kelmarin, selepas dibebaskan dari penjara.
Hisyam Alizein, juga dikenali sebagai Umar Patek, ialah anggota utama rangkaian serpihan Al-Qaeda, Jemaah Islamiyah (JI), yang dipersalahkan atas letupan di dua kelab malam di Pantai Kuta.
Pembebasannya mencetuskan kemarahan pemerintah Australia, mangsa yang terselamat dan anggota keluarga mangsa yang terbunuh dalam serangan militan paling buruk di Asia Tenggara yang meragut 202 nyawa termasuk 88 warga Australia.
Umar Patek, turut berikrar untuk membuktikan 'kesetiaannya' terhadap Indonesia, semasa membuat ulasan pertamanya selepas dibebaskan dari penjara di bawah parol.
Dia dibebaskan dari penjara di Surabaya, Jawa Timur minggu lalu selepas menjalani hukuman separuh daripada tempoh hukuman penjara 20 tahun yang dikenakan.
Salah seorang mangsa yang terselamat dalam serangan itu, Peter Hughes, warga Australia, yang menjadi saksi dalam perbicaraan pada 2012, menyifatkan pembebasan Patek sebagai 'melucukan'.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, pada Ogos lalu menyifatkan tindakan Jakarta memendekkan hukuman penjara Patek sebagai 'jijik'.
Patek berkata: "Adalah menjadi kewajipan saya untuk meminta maaf sepanjang hayat saya".
"Saya mohon maaf... kepada semua mangsa. Saya juga mohon maaf kepada rakyat Australia, yang mengalami kesan buruk akibat pengeboman di Bali itu," katanya kepada wartawan di bandar Lamongan, di Jawa Timur.
Patek bertanggungjawab membuat alat letupan yang digunakan dalam serangan di Bali, sebuah pulau peranginan yang popular dalam kalangan pelancong asing.
Pegawai Indonesia berkata, dia dikehendaki menjalani program pemulihan sehingga 2030 dan pembebasannya itu akan ditarik balik sekiranya dia melanggar peraturan dalam masa tempoh berkenaan.
"Saya ingin membuktikan komitmen saya kepada pemerintah, dan setiap terhadap negara. Saya akan membuktikannya dengan perlakuan saya," katanya apabila ditanya mengenai pembebasannya.
Dia berkata demikian di pejabat Lingkar Perdamaian, sebuah yayasan yang membantu bekas banduan menyertai semula masyarakat.
Yayasan itu ditubuhkan oleh Ali Fauzi, saudara kepada tiga orang pelaku pengeboman Bali itu.
Pihak berkuasa Indonesia berkata, mereka percaya Patek, yang ditangkap di Pakistan pada 2011, sudah memulihkan dirinya semasa dalam penjara selepas menjalani rancangan pemulihan radikal.
Bagaimanapun, Australia meminta supaya Patek terus dipantau rapi.
Patek pula berkata, dia ingin membantu mengamankan orang-orang yang berfahaman pelampau. - AFP