SYDNEY: Kerajaan Australia memaklumkan ia sedang mendapatkan jaminan daripada Indonesia supaya lelaki disabitkan kesalahan membuat bom yang digunakan dalam serangan pengganas di Bali pada 2002 akan terus dipantau.
Hisyam Alizein, juga dikenali sebagai Umar Patek, yang dibebaskan semalam, ialah anggota utama rangkaian serpihan Al-Qaeda, Jemaah Islamiyah (JI), yang dipersalahkan atas letupan di dua kelab malam di Pantai Kuta.
Dia dibebaskan di bawah parol selepas menjalani kira-kira separuh daripada hukuman asalnya selama 20 tahun, walaupun mendapat bantahan keras daripada Australia.
Timbalan Perdana Menteri Australia, Richard Marles, berkata ia adalah hari yang sukar bagi mereka yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi pengeboman itu.
Beliau memberitahu Australian Broadcasting Corp, kerajaannya menentang pembebasan awal Umar dan akan menggesa kerajaan Indonesia memastikan dia berada di bawah pengawasan berterusan.
Pihak berkuasa Indonesia, berkata Umar, 55, berjaya diubah dalam penjara dan mereka akan menggunakannya untuk menyedarkan militan lain supaya menjauhi keganasan.
Menteri Dalam Negeri, Clare O'Neil, berkata ia adalah hari yang teruk bagi mangsa dan keluarga mereka.
"Pandangan peribadi saya, tindakannya tidak boleh dimaafkan dan menjijikkan," kata O'Neil di National Press Club, Canberra.
Mangsa tragedi Bali yang terselamat, Peter Hughes, yang memberi keterangan dalam perbicaraan Umar, berkata beliau dan mangsa terselamat lain tidak mempercayai yang pembuat bom itu sudah berubah.
"Sejarah membuktikan orang seperti dia tidak akan berubah dengan mudah. Keputusan melepaskannya adalah sesuatu yang boleh diketawakan," katanya kepada ABC.
Seorang lagi mangsa yang terselamat, Jan Laczynski, berkata beliau terkejut dengan pembebasan Umar.
Ahli Parlimen, Chris Bowen, berkata pembebasan Umar membimbangkan tetapi kerajaan Australia menghormati sistem perundangan Indonesia.
"Rakyat Indonesia dan Australia terbunuh dalam pembunuhan yang dahsyat itu, rakyat Indonesia dan Australia melalui pengalaman pahit ini bersama-sama," katanya kepada ABC. - AGENSI