Selasa, 6 Disember 2022 | 6:36pm
(Gambar fail) Parlimen Indonesia - FOTO REUTERS
(Gambar fail) Parlimen Indonesia - FOTO REUTERS

Parlimen Indonesia lulus undang-undang larang seks luar nikah

JAKARTA: Parlimen Indonesia hari ini meluluskan undang-undang yang menetapkan hubungan seks luar nikah sebagai jenayah bagi rakyatnya serta pelawat warga asing, hasil semakan kontroversi dan sekian lama ditunggu-tunggu terhadap Kanun Keseksaan.

Timbalan Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Edward Hiariej, berkata undang-undang itu bagaimanapun tidak akan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau menjelaskan selepas proses ratifikasi, kanun jenayah baharu berkenaan mesti ditandatangani terlebih dahulu oleh Presiden.

"Undang-undang baharu ini mempunyai banyak peraturan berkait pelaksanaan yang harus diselesaikan, justeru mustahil dilakukan dalam tempoh setahun," katanya sambil memaklumkan transisi daripada kanun lama kepada baharu itu dijangka mengambil masa maksimum tiga tahun.

Berdasarkan salinan pindaan kanun jenayah itu yang diperoleh The Associated Press, ia antara lain meliputi beberapa artikel disemak semula yang menjadikan kesalahan hubungan seks luar nikah boleh dihukum penjara setahun, manakala bersekedudukan pula selama enam bulan.

Bagaimanapun, pertuduhan zina mesti berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pasangan, ibu bapa atau anak tertuduh.

Tindakan mempromosikan pencegahan kehamilan serta menghina agama turut diharamkan, selain mengembalikan larangan menghina Presiden dan Naib Presiden yang sedang memegang jawatan, institusi negara serta ideologi kebangsaan. Kes menghina Presiden mesti dilaporkan oleh pemimpin itu sendiri, dan boleh dihukum penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Hiariej berkata, kerajaan memberikan 'penjelasan paling tegas sedapat mungkin yang membezakan antara penghinaan dengan kritikan.'

Undang-undang itu juga mengekalkan ketetapan bahawa tindakan menggugurkan kandungan adalah jenayah, namun pengecualian diberi kepada wanita yang mengalami masalah kesihatan mengancam nyawa serta mangsa rogol, dengan syarat janin berusia kurang 12 minggu, selaras peraturan sedia ada dalam Undang-Undang Amalan Perubatan 2004.

Kanun itu turut mengekalkan hukuman mati dalam sistem penghakiman jenayah meskipun terdapat desakan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan dan kumpulan lain supaya ia dimansuhkan.

Bagaimanapun pada sesi perbahasan yang 'hangat', Ahli Parlimen akhirnya bersetuju menolak artikel diusulkan oleh kumpulan Islam untuk mengharamkan seks songsang (gay).

Sebelum ini, rang undang-undang bersedia untuk diluluskan pada 2019, namun Presiden Joko Widodo (Jokowi) meminta Ahli Parlimen menangguhkan pengundian ketika itu susulan kritikan semakin memuncak yang membawa kepada tunjuk perasaan di seluruh negara. Pembangkang mendakwa proses penggubalan undang-undang itu kurang telus dan mengandungi artikel yang mendiskriminasi golongan minoriti.

Jokowi mengarahkan Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Yasonna Laoly untuk mendapatkan input daripada pelbagai komuniti sementara Ahli Parlimen membincangkan artikel terbabit. Pasukan petugas khas Parlimen memuktamadkan rang undang-undang itu pada November lalu, sebelum Ahli Parlimen sebulat suara meluluskannya, hari ini, yang disifatkan oleh Laoly sebagai 'langkah bersejarah.'

Bawah kanun baharu itu, hukuman mati akan dikenakan secara alternatif dengan tempoh percubaan. Ini bermakna hakim tidak boleh menjatuhkan hukuman mati dengan serta-merta. Sekiranya pesalah terbabit berkelakuan baik dalam tempoh 10 tahun, hukuman mati itu akan ditukar kepada penjara seumur hidup atau selama 20 tahun. - AP

Berita Harian X