SINGAPURA: Warga republik ini diminta bersiap sedia untuk gelombang jangkitan COVID-19 yang baru memandangkan ramai yang bercuti luar negara sempena sambutan akhir tahun ini.
Demikian kata Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, semalam kepada pihak media di Maktab Rendah Nanyang semasa acara anjuran Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC).
"Dengan lebih banyak pelancongan dan sambutan Krismas serta Tahun Baru, akan terdapat lebih banyak jangkitan, tetapi ia bukan sesuatu yang tidak pernah kita alami sebelum ini.
"Tahun ini saja, kita melihat tiga gelombang jangkitan yang kesemuanya agak besar, dua yang pertama adalah Omicron: BA.2, kemudian BA.5 dan selepas itu XBB. Jadi, akan ada gelombang baru," katanya.
Jangkitan varian Omicron BA.2 memuncak pada Mac dan sub varian BA.5 meningkatkan jangkitan pada Jun serta Julai dan seterusnya Singapura mengharungi varian XBB pada Oktober dan November.
Tegas Ye Kung, apa yang lebih penting ialah untuk memantau perkembangan di luar negara mengenai varian baharu yang membimbangkan apabila musim salji melanda hemisfera utara.
Agensi ubat Kesatuan Eropah, pada Ogos lalu, berkata varian COVID-19 yang baharu sama sekali mungkin muncul ketika musim sejuk ini.
Mereka turut memberi amaran bahawa varian berkenaan mungkin berkait rapat dengan varian Omicron yang lebih awal, sebelum digantikan sub varian BA.4 dan 5.
Kata Ye Kung, bila China membuka sempadannya, yang kelihatan mungkin berlaku pada bila-bila masa, sudah tentu akan ada jangkitan baharu.
"Ini kerana ramai penduduk China dijangkiti COVID-19 dan berdasarkan kepadatan penduduk ini, sudah tentu akan ada varian baharu.
"Bagi Singapura, kita akan tunggu dan lihat semua perkembangan ini dan apabila masa sesuai untuk melonggarkan sekatan, kita akan lakukan mengikut keselesaan kita," katanya. - AGENSI