Isnin, 5 Disember 2022 | 4:23pm
Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen. - Foto AFP
Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen. - Foto AFP

Penyertaan AS dalam ekonomi Indo-Pasifik digalakkan

WASHINGTON: Pemimpin pertahanan menyertai Forum Pertahanan kebangsaan Reagan di California semalam risau dengan kelewatan pembabitan Amerika Syarikat (AS) dalam ekonomi di rantau Indo-Pasifik.

Rata-rata negara Indo-Pasifik mengakui mereka masih gagal menyaingi kekuasaan ekonomi China di rantau ini dan menyifatkan kebangkitan Beijing akan melemahkan kehadiran AS di Asia.

Justeru, AS digesa lakukan lebih banyak untuk membabitkan negara Indo-Pasifik secara ekonomi dan tidak hanya menumpukan kepada kehadiran tenteranya saja di rantau ini, kata Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen, di forum berkenaan.

Kehadiran AS di Asia mengesahkan bukan saja kepada keselamatan yang disediakan, tapi juga sistem sejagat yang dibangunkan serta dapat diraih semua negara, tambah Dr Ng semasa satu panel mengenai kerjasama AS dengan rakan sekutu.

"Kehadiran pihak ketenteraan AS di Asia sebagai sebuah pasukan yang menstabilkan adalah langkah mulia, baik dan kami menyokongnya.

"Kami fikir AS patut lakukan lebih banyak untuk mendampingi, seperti yang ia lakukan sebelum ini, untuk membina rangka kerja ekonomi serantau," katanya, yang dipetik akhbar The Straits Times.

Ketegangan antara AS dengan China berkaitan Taiwan, yang Beijing anggap sebagai wilayah yang terpisah dan perlu disatukan dengan paksa - jika perlu - menyebabkan rasa kurang senang dalam kalangan banyak ibu negara Asia.

Kritikan bahawa AS patut menyaingi China berkaitan perdagangan dan ekonomi di rantau Indo-Pasifik semakin memuncak selepas Washington menarik diri daripada Kerjasama Rentas Pasifik (TPP) pada 2017, yang kemudiannya diubah menjadi Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP).

Washington kini sedang berbincang mengenai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik, yang meliputi 13 negara dan sejumlah 40 peratus hasil dalam negeri kasar (GDP).

Namun, ia bukan perjanjian dagangan tradisional dan kurang akses pasaran, yang menjadi senarai teratas keinginan negara di Asia.

Dr Ng berkata kini terdapat pandangan bahawa AS menentang multilateralisme berkaitan ekonomi kerana pengundurannya daripada TPP. - AGENSI

Berita Harian X