JAKARTA: Beribu-ribu penduduk di Jawa Timur Indonesia berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas letusan ganas di gunung berapi tertinggi di pulau itu hingga mendorong pihak berkuasa mengenakan zon larangan sepanjang lapan kilometer (km) dan memaksa pemindahan seluruh kampung.
Jurucakap Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia, Tholib Vatelehan, berkata agensi mencari dan menyelamat wilayah mengerahkan pasukan ke kawasan paling teruk terjejas berhampiran Gunung Semeru untuk menilai kerosakan, namun terpaksa ditangguhkan sementara berikutan hujan yang sedikit.
"Semalam, paras hujan tinggi menyebabkan semua bahan dari puncak gunung itu turun. Tetapi hari ini, setakat ini tiada hujan, jadi agak selamat," katanya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada gangguan serta-merta terhadap perjalanan udara.
Gunung berapi setinggi 3,676 meter itu meletus pada 2:46 petang (waktu tempatan) semalam dan rakaman oleh penduduk tempatan menunjukkan Gunung Semeru memuntahkan abu kelabu gergasi tinggi di atas kawahnya, hingga 'menenggelamkan' gunung dan sawah padi sekitarnya, jalan raya dan jambatan serta menjadikan langit hitam.
Satu video yang dikongsi oleh Kementerian Alam Sekitar di Twitter menunjukkan aliran lahar piroklastik, batu dan gas panas memancar menuruni lereng gunung.
Menurut pihak berkuasa, orang ramai melarikan diri dari letusan dengan motosikal dan hampir 2,500 orang terpaksa berpindah.
Agensi mitigasi bahaya vulkanologi dan geologi Indonesia pula menaikkan tahap amaran untuk Gunung Semeru ke tahap tertinggi.
Agensi itu juga mengeluarkan amaran kepada penduduk supaya tidak menghampiri dalam lingkungan lapan km dari puncak atau 500 meter dari tebing sungai kerana risiko aliran lava.
Tahun lalu, Semeru meletus hingga mengorbankan lebih 50 orang dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.
Letusan itu, kira-kira 640km di timur ibu negara, Jakarta, berikutan siri gempa bumi di barat Jawa, termasuk bulan lalu yang mengorbankan lebih 300 orang.
Negara kepulauan dengan 270 juta penduduk yang terletak di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, Indonesia adalah antara negara paling terdedah kepada bencana gempa bumi.
Dengan 142 gunung berapi, Indonesia mempunyai populasi terbesar di dunia yang tinggal dalam jarak dekat dengan gunung berapi, termasuk 8.6 juta dalam jarak 10km. - REUTERS