Ahad, 4 Disember 2022 | 10:12pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Myanmar tahan 70 orang Rohingya sembunyi dalam trak

YANGON: Seramai 70 orang etnik Rohingya bersembunyi di dalam sebuah trak membawa muatan halia, sebelum ditahan di utara Yangon apabila kenderaan itu merempuh terusan di tepi jalan.

Rata-rata penduduk Islam Rohingya di Rakhine, barat Myanmar, dianggap sebagai pendatang tanpa izin di negara ini.

Malah, mereka telah sekian lama berdepan diskriminasi serta sekatan perjalanan, selain dinafikan kewarganegaraan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Penangkapan terbabit berlaku pada minggu lalu, menurut junta Myanmar dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketika kejadian, kumpulan individu itu yang kebanyakannya lelaki, dikatakan bersembunyi bawah guni berisi halia di dalam trak berkenaan.

Seorang warga Bangladesh turut ditahan, dan pihak berkuasa sedang memburu dua warga Myanmar didakwa memandu trak itu serta menumpang di bahagian kabin.

Etnik Rohingya yang didapati bersalah melanggar undang-undang imigresen, boleh dihukum penjara hingga dua tahun di Myanmar.

Pertubuhan bukan kerajaan, Amnesty International, pernah menyamakan keadaan kehidupan etnik Rohingya di Rakhine dengan 'aparteid.'

Tindakan keras dilancarkan tentera Myanmar pada 2017 menyebabkan sejumlah kira-kira 750,000 penduduk etnik Rohingya terpaksa meninggalkan Rakhine menuju ke Bangladesh, susulan kejadian pembunuhan, pembakaran dan rogol didakwa berlaku secara meluas.

Susulan itu, Myanmar kini berdepan pertuduhan pembunuhan beramai-ramai atau genosid, di mahkamah tinggi bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AFP

Berita Harian X