JAKARTA: Gunung Semeru di Indonesia meletus dengan kepulan abu panas tersembur lebih 1,500 meter (m) ke langit dan aliran lahar, hari ini, sekali gus mendorong pihak berkuasa menaikkan status amaran gunung berapi ke tahap tertinggi.
Letusan gunung tertinggi di Pulau Jawa itu - pulau utama di Indonesia yang terletak kira-kira 800 kilometer (km) tenggara Jakarta - turut menyebabkan penduduk di beberapa perkampungan berhampiran terpaksa dipindahkan segera demi keselamatan.
"Kenaikan tahap amaran itu bermakna keadaan berbahaya mengancam penempatan penduduk dan aktiviti gunung berapi berkenaan semakin meningkat," kata jurucakap Pusat Mitigasi Bencana Vulkanologi dan Geologi (PVMBG), Hendra Gunawan, kepada stesen penyiaran Kompas TV.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan susulan letusan gunung terbabit, setakat ini, namun Gunawan mengingatkan penduduk berdekatan supaya tidak melakukan sebarang perjalanan dalam lingkungan jarak lapan kilometer dari kawah selepas amaran ancaman dinaikkan ke tahap empat.
Gunawan berkata, pusat perlindungan sementara telah disediakan untuk penduduk yang dipindahkan.
Rakaman disiarkan televisyen tempatan menunjukkan penduduk berkenaan yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, ditempatkan di sebuah sekolah.
Selain itu, orang ramai dinasihatkan mengelak kawasan tenggara kira-kira 13km sepanjang sungai ke arah kepulan abu letusan terbabit bergerak.
Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional, Abdul Muhari memaklumkan letusan gunung berapi itu turut memuntahkan lava serta aliran lahar dari puncak setinggi 3,676m.
Ketua pentadbiran tempatan Lumajang yang juga lokasi terletaknya gunung berapi itu, Thoriqul Haq pula memberitahu Kompas TV bahawa semakin ramai penduduk sudah turun ke kawasan di bahagian bawah atas faktor keselamatan.
Rakaman video tersebar dalam media sosial menunjukkan asap tebal berkepul-kepul keluar dari Gunung Semeru, manakala sekurang-kurang sebuah kampung dilitupi abu dan keadaan gelap dengan udara berjerebu tebal.
Perkampungan yang terjejas turut dilanda hujan pada waktu tengah hari, menyaksikan air terbabit menjadi selut bersama abu gunung berapi, lapor Kompas.
Seorang wartawan AFP mendakwa capaian Internet terputus, manakala isyarat telefon mengalami gangguan selepas letusan itu.
Agensi penyelamat tempatan dilapor mengagihkan pelitup muka secara percuma kepada orang awam berikutan ancaman udara tercemar itu, terutama golongan rentan.
Dalam pada itu, seorang pegawai media PVMBG, berkata, sebuah jambatan menghubungkan dua daerah di kawasan terbabit, yang dibina semula selepas letusan tahun lalu, sekali lagi mengalami kerosakan teruk, hari ini.
Terdahulu, perkembangan itu menyebabkan agensi cuaca Jepun memberi amaran tsunami boleh melanda kepulauan Miyako serta Yaeyama di wilayah selatan, Okinawa, lapor agensi berita Kyodo.
Menurut laporan berkenaan, tsunami boleh tiba menjelang jam 2.30 petang waktu tempatan, namun belum ada sebarang kerosakan dilaporkan sepanjang tempoh sejam selepas waktu dijangkakan itu.
Kali terakhir Gunung Semeru meletus ialah setahun lalu yang meragut sekurang-kurang 51 nyawa serta merosakkan lebih 5,000 kediaman.
Bencana itu mengakibatkan keseluruhan laluan di kawasan sekitar ditenggelami lumpur serta abu letusan yang turut menimbus kediaman dan kenderaan, manakala hampir 10,000 penduduk terpaksa mencari tempat lain untuk berlindung.
Sebelum ini, status amaran Gunung Semeru dikekalkan pada tahap kedua tertinggi sejak letusan besar pada Disember 2020 yang menjejaskan ribuan penduduk.
Indonesia mempunyai hampir 130 gunung berapi yang masih aktif. - AFP