MANILA: Lebih 31 rakyat Filipina mungkin menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dipaksa terbabit dalam penipuan pelaburan mata wang kripto di Myanmar.
Menurut Senator Risa Hontiveros, seorang daripada 12 mangsa yang diselamatkan baru-baru ini daripada sindiket pemerdagangan manusia berpusat di China dan beroperasi di Myanmar, seramai 31 lagi warga Filipina perlu diselamatkan.
"Berdasarkan anggaran mereka, 31 lagi rakyat Filipina berada di Myanmar dan perlu diselamatkan," katanya dalam temu bual dengan TeleRadyo.
Minggu lalu, Hontiveros mendedahkan sejumlah rakyat Filipino terpedaya dengan iklan tawaran pekerjaan palsu sebelum dipaksa terbabit dalam penipuan pelaburan mata wang kripto.
Mangsa dijanjikan dengan pekerjaan di pusat panggilan sebagai wakil perkhidmatan pelanggan, atau pengekod data namun kemudian diculik dan dipaksa menipu warga asing.
Hontiveros mendakwa kumpulan mafia China merancang untuk mewujudkan kumpulan sindiket penipuan dalam kalangan warga Filipina di Myanmar.
Bagaimanapun, senator itu memberi jaminan bahawa agensi kerajaan Filipina termasuk Jabatan Hal Ehwal Asing serta Jabatan Buruh dan Pekerjaan, sedang berusaha mengatasi perkara berkenaan.
Menurut Hontiveros, pihak berkuasa Filipina sedang mengesan dalang yang menculik 12 warga Filipina yang diselamatkan.
Katanya, penculik itu dipercayai warga Filipina yang dikenali sebagai 'Len'. - AGENSI