Isnin, 28 November 2022 | 8:26pm
Seorang gadis menerima titisan vaksin daripada seorang pekerja perubatan semasa kempen imunisasi polio di Dataran Bandar Sigli di Pidie, wilayah Aceh, Indonesia. - Foto AP
Seorang gadis menerima titisan vaksin daripada seorang pekerja perubatan semasa kempen imunisasi polio di Dataran Bandar Sigli di Pidie, wilayah Aceh, Indonesia. - Foto AP

Polio kembali di Indonesia, cetus kempen vaksinasi

PIDIE: Sekumpulan kanak-kanak kecil dan pelajar sekolah hari ini berbaris untuk menerima suntikan polio di dataran bandar Sigli, Sumatera.

Ia selepas empat kanak-kanak didapati dijangkiti penyakit itu, selepas ia dihapuskan di negara berkenaan, sedekad lalu.

Virus itu pertama kali dikesan pada Oktober lalu apabila seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang mengalami lumpuh separuh badan di wilayah Aceh berdekatan Sigli.

Tiga kes lain kemudian dikesan, sekali gus mendorong imunisasi besar-besaran.

Kadar imunisasi polio di negara itu jauh ketinggalan berbanding negara lain dan usaha itu dihalang oleh maklumat salah serta bercanggah dengan sesetengah kepercayaan agama.

Selain itu, kerajaan turut mengutamakan vaksinasi COVID-19.

Kempen yang bermula hari ini bertujuan memberi vaksin kepada kira-kira 1.2 juta kanak-kanak di wilayah itu.

Ketua pengarah bagi kawalan dan pencegahan penyakit Kementerian Kesihatan, Maxi Rein Rondonuwu, berkata tiada ubat untuk polio.

Satu-satunya rawatan dan alat pencegahan adalah vaksinasi.

Khabar angin palsu bahawa vaksin polio mengandungi daging babi atau alkohol, yang dilarang mengikut kepercayaan umat Islam, telah berleluasa terutama di kawasan luar bandar, menyukarkan usaha vaksinasi, kata Ketua Pejabat Kesihatan Aceh, Hanif.

"Perkara itu menyukarkan usaha vaksinasi.

"Kita tidak boleh bekerja sendiri, sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak termasuk ketua agama supaya orang ramai faham kepentingan imunisasi," katanya. - AGENSI

Berita Harian X