Isnin, 28 November 2022 | 2:28pm
Dari kiri, bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan; Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, tiga calon berpotensi menggantikan Presiden Indonesia, Joko Widodo. - Foto AGENSI
Dari kiri, bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan; Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, tiga calon berpotensi menggantikan Presiden Indonesia, Joko Widodo. - Foto AGENSI

Sokong pemimpin berambut putih jadi Presiden - Jokowi

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) menggesa penyokongnya untuk mengundi pemimpin 'berambut putih sepenuhnya' sebagai Presiden Indonesia, sekali gus menyatakan sokongannya kepada calon presiden.

"Lihat rambut pemimpin juga, jika ia putih sepenuhnya, itu bermakna mereka memikirkan tentang rakyat," kata Jokowi kepada hampir 150,000 penyokongnya yang berkumpul pada perhimpunan Sabtu lalu di Jakarta.

Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, adalah satu-satunya calon presiden dengan rambut putih penuh, yang juga antara pencabar paling popular untuk pilihan raya 2024.

Bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto turut menduduki tiga teratas calon paling berpotensi.

Walaupun Baswedan dan Prabowo sudah mengisytiharkan rancangan mereka untuk berkempen, Pranowo bagaimanapun masih membisu.

Calon presiden perlu mendapat sokongan parti yang mewakili sekurang-kurangnya 20 peratus kerusi di Parlimen dan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan atau PDIP - parti yang menyokong Pranowo dan Jokowi - bersifat berkecuali tanpa menyokong sesiapa.

Pengerusi PDIP, Megawati Sukarnoputri, dilihat secara serius mengharapkan anak perempuannya, Maharani, menjadi calon parti walaupun popularitinya rendah dan PDIP hanya mempunyai 22 peratus kerusi saja di Parlimen.

Dalam perhimpunan meriah di Jakarta tengah itu, Jokowi turut menggesa penyokongnya memilih pemimpin yang memahami nasib rakyat.

"Ini negara besar, jangan cari pemimpin yang hanya duduk cantik di istana presiden. Cari, saya ingatkan, cari pemimpin yang mahu dan suka turun dalam kalangan rakyat," katanya.

Hampir semua calon presiden menggunakan gaya berkempen 'blusukan' atau berjalan dalam kalangan rakyat, yang sebelum ini mendorong Jokowi ke jawatan teratas.

Namun, kesinambungan dasar beliau masih dipertaruhkan apabila beliau menghampiri penghujung penggal kedua dan terakhirnya.

Ini termasuk pemindahan AS$34 bilion (RM2.8 trilion) ibu negara baharu ke Borneo, dasar hiliran komoditi yang mahu menggoncang pasaran dan bermatlamat untuk menjadikan Indonesia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2045.

"Kita perlu memastikan kesinambungan apa yang kita bina. Setuju? Ini yang kita harus lindungi bersama, bukan hanya untuk 2024, bukan hanya untuk 2029, tetapi juga untuk Indonesia Emas pada 2045 dan seterusnya," katanya, yang disahut sorakan orang ramai. - AGENSI

Berita Harian X