Sabtu, 26 November 2022 | 10:01pm
Antara gugusan kepulauan Rizab Widi, Indonesia. - Foto ihsan Sotheby's
Antara gugusan kepulauan Rizab Widi, Indonesia. - Foto ihsan Sotheby's

Gugusan pulau di Indonesia dilelong

JAKARTA: Terletak di tengah-tengah kawasan marin terlindung seluas 315,000 hektar, Rizab Widi, menempatkan lebih seratus pulau Indonesia, yang didiami ratusan spesies mamalia marin, ikan dan burung yang jarang ditemui, kebanyakannya dilindungi.

Untuk memelihara ekosistem yang dianggap sebagai salah satu habitat paling terpelihara di dunia, gugusan pulau berkenaan akan satu dilelong oleh Sotheby's tetapi bakal pembeli dikenakan pelbagai syarat ketat dan hak pembangunan amat terhad.

Bayangkan, 150 kilometer (km) pantai berpasir putih dengan air berwarna biru ke biru tua, di mana anda dapat melihat banyak ikan berwarna-warni, penyu atau mamalia laut.

Di sini, lebih daripada seratus kepulauan tidak berpenghuni dan sama sekali tidak disentuh oleh kegiatan manusia selama ini.

Selamat datang ke Rizab Widi, di tengah-tengah kawasan geografi yang dikenali sebagai Segi Tiga Karang di bahagian timur Indonesia.

Paus biru dan jerung paus sering menghampiri garis pantai, manakala lebih daripada 600 spesies mamalia marin, ikan dan burung membentuk satu-satunya landskap yang belum terjejas, malah terdapat spesies yang mungkin belum ditemui.

Lelongan itu bukan tentang menjadikan Rizab Widi sebagai tempat tumpuan pelancongan baharu yang bergaya, sebaliknya ia turut menjadi sebahagian daripada projek bertanggungjawab terhadap alam sekitar untuk memelihara biodiversiti unik ini.

Meliputi kawasan seluas 10,000 hektar, kepulauan itu menjadi ujian kepada Indonesia bagi membuktikan sama ada manusia mampu hidup secara harmoni dengan alam semula jadi.

Malah, pembeli yang mahu membangunkan hotel di gugusan pulau ini hanya diberi hak pembinaan terhad dan perlu mematuhi keperluan persekitaran tertentu.

Sebagai contoh, hak pemaju pada masa ini hanya dibenarkan membuka 500 bilik yang tersebar di 17 pulau, tanpa menjejaskan ekosistem dan habitat semula jadi sedia ada.

Biasanya, pihak berkuasa Indonesia tidak membenarkan pembeli asing membeli pulau, namun sebagai jalan keluar dalam kes ini, lesen eksklusif untuk pembangunan dan pengurusan Rizab Widi dipegang oleh syarikat induk bernama PT.

Justeru, lelongan yang diadakan pada 8 hingga 14 Disember di New York itu sebenarnya menawarkan pembida peluang untuk menjadi pelabur dalam syarikat Indonesia berkenaan, sekali gus menguasai rizab alam semula jadi yang ditawarkan.

Pelan pembangunan hotel sudah pun dirangka dan berbentuk eko-lodge, yang direka oleh Bill Bensley, seorang arkitek Amerika Syarikat (AS) yang terkenal dengan projek mewahnya.

Selain itu, pembeli perlu membuktikan mereka mempunyai kemampuan kewangan untuk membeli permata alam ini, kerana deposit pembida sebanyak AS$100,000 (RM448,000) diperlukan untuk mengambil bahagian.

Walaupun hasrat untuk memelihara biodiversiti adalah terpuji, Rizab Widi ini hanya mengambil masa selama dua setengah jam penerbangan dari Bali.

Oleh itu, landasan udara diperlukan untuk membolehkan orang ramai tiba di destinasi yang luar biasa ini.

Projek pembangunan untuk landasan sepanjang 1,000 meter sudah pun dirancang untuk membolehkan jet peribadi mendarat. - AGENSI

Berita Harian X