Sabtu, 26 November 2022 | 5:34pm
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. - Foto NSTP
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. - Foto NSTP

Hsien Loong undang Anwar lawat Singapura

SINGAPURA: Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, dalam satu panggilan telefon kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bagi mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia, turut menjemput ketua baru itu ke Singapura.

Hsien Loong, yang dipetik berita Harian Singapura, berkata beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan Anwar dan kerajaan barunya bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala Singapura-Malaysia.

Tambah beliau, Singapura dan Malaysia adalah rakan kongsi rapat yang sudah menyaksikan dan mengharungi pelbagai perubahan .

"Kedua-dua negara berkongsi persahabatan yang panjang, disokong oleh hubungan sejarah, budaya dan sesama rakyat yang kukuh.

"Banyak lagi yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan hubungan dua hala kita bagi manfaat bersama," katanya dalam satu kiriman Facebook semalam.

Tambah Hsien Loong, beliau sudah mengenali Anwar selama beberapa dekad.

"Kami kali terakhir bertemu di Singapura pada 2018 apabila beliau menyampaikan ceramah di Sidang Puncak Singapura mengenai kepentingan hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia," katanya.

Dalam satu kiriman di Twitter semalam, Anwar mengucapkan terima kasih kepada Hsien Loong di atas panggilan telefon dan ucapan mesranya.

"Sebagai jiran rapat dan rakan kongsi dalam ASEAN, Malaysia dan Singapura juga berkongsi banyak persamaan, sejarah yang saling berkait dan hubungan antara rakyat yang sangat erat lagi aktif.

"Saya tidak sabar untuk bertemu anda pada kesempatan paling awal dan bekerjasama untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura," katanya.

Kelmarin Hsien Loong mengutus warkah mengucapkan tahniah kepada Anwar serta prestasi kukuh Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia lalu.

Dalam warkah tersebut, Hsien Loong berkata jawatan perdana menteri Datuk Anwar itu datang di tengah-tengah cabaran dalam sekitaran serantau dan global.

"Sebagai jiran dan rakan rapat, Singapura dan Malaysia harus bekerjasama untuk menguruskan cabaran ini dan meneroka peluang baru untuk kerjasama," katanya.

Pelantikan itu menamatkan kebuntuan pembentukan kerajaan baru lima hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus mengakhiri penantian Anwar selama 24 tahun untuk menjadi perdana menteri.

PRU15 memperlihatkan persaingan sengit dan berakhir dengan Parlimen tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

PH menang 82 kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) meraih 73 kerusi, bermakna kedua-duanya tidak cukup mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan. - AGENSI

Berita Harian X