SINGAPURA: Pusingan keempat pengagihan kit ujian pantas antigen (ART) akan bermula Isnin depan dalam satu inisiatif yang akan menyaksikan lebih 1.5 juta isi rumah menerima 12 kit ART setiap satu dalam peti surat mereka sepanjang beberapa minggu akan datang.
Dalam satu hantaran Facebook semalam, Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, menggesa individu supaya menguji diri mereka bagi COVID-19, terutama dengan peningkatan interaksi sosial semasa musim cuti akhir tahun.
"Usah lupa uji diri sendiri, terutamanya jika anda baru pulang dari luar negara, berasa tidak sihat atau melawat orang rentan. SingPost akan menghantar kit ujian itu kepada isi rumah," katanya.
Pengagihan ART di seluruh negara sebelum ini ialah Julai lalu, di tengah-tengah gelombang jangkitan yang dicetuskan variasi COVID-19 Omicron XBB.
Tambah Ye Kung, akhir tahun adalah tempoh kemuncak mereka, jadi beliau memohon kesabaran dan pemahaman orang ramai semasa SingPost membuat penghantaran.
Kementerian Kesihatan (MOH) sebelum ini berkata lebih banyak kit ART akan diberi kepada isi rumah berpendapatan rendah dan pelajar, sekiranya diperlukan.
Penerima bantuan pejabat perkhidmatan sosial dan pusat perkhidmatan keluarga boleh terus meminta kit ART tambahan di pejabat dan pusat itu. - AGENSI