MANILA: Mahkamah Filipina menjatuhkan dua hukuman penjara seumur hidup kepada seorang pegawai polis kerana mendera dan menanam bukti bagi mangsa perang dadah ketika kemuncak tindakan antinarkotik bekas Presiden, Rodrigo Duterte.
Mahkamah Caloocan City di wilayah ibu negara menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada pegawai polis, Jefrey Perez, hilang kelayakan daripada jawatan awam dan penalti kewangan berhubung penahanan Carl Angelo Arnaiz, 19, dan Reynaldo De Guzman, 14, pada Ogos 2017, yang kedua-duanya sudah meninggal dunia.
"Penanaman bukti itu bertujuan untuk menggambarkan bahawa Carl (Angelo Arnaiz) adalah seorang penjenayah dan kematiannya adalah hasil daripada operasi polis yang sah," menurut keputusan hakim, Rodrigo Pascua bertarikh 10 November, yang didedahkan kepada umum, semalam.
Mahkamah berkata, pegawai polis itu bersalah atas tuduhan menyeksa dan menanam bungkusan plastik mengandungi daun ganja dan methamphetamine serta sepucuk revolver kaliber 38 milik Arnaiz.
Dalam satu laporan polis, ia menyebut Arnaiz meninggal dunia dalam satu pertempuran manakala mayat De Guzman ditemui dengan kesan tikaman.
"Ini adalah amaran kepada semua penguatkuasa undang-undang untuk tidak menggunakan kekerasan yang berlebihan terhadap orang awam," kata ketua Pejabat Peguam Negara, Persida Acosta, yang mengendalikan kes itu, kepada saluran berita ANC hari ini.
Polis Filipina enggan mengulas lanjut.
Difahamkan, lebih 6,200 orang terbunuh dalam operasi polis di bawah perang Duterte terhadap dadah.
Polis menolak dakwaan pembunuhan itu adalah hukuman mati, sebaliknya mengatakan suspek dadah menentang penahanan secara ganas, dan pihak berkuasa bertindak mempertahankan diri.
Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International Philippines mengalu-alukan sabitan yang jarang berlaku itu dan menyeru keadilan bagi beribu-ribu lagi yang mati dalam tempoh enam tahun Duterte, yang berakhir pada Jun 2022.
"Kami tidak berpuas hati, sebaliknya dalang yang menyuruh polis untuk menyeksa, membunuh dan menanam bukti mesti diambil kira, bukan hanya polis peringkat rendah," katanya. - REUTERS